Cari:
Qu Yuan, Sasterawan dan Patriot yang Segemilang Matahari (6)
2010-02-16 13:58:57 CRI Cetak

Qu Yuan berasa kecewa bukan disebabkan beliau dipecat dari jawatan yang tinggi, atau kepentingan perseorangannya terjejas, atau namanya tercemar akibat fitnah yang diada-adakan oleh golongan bangsawan itu. Yang menjadikan Qu Yuan merasa sedih itu adalah kegagalannya menggubal undang-undang yang baru yang disebut "Xian Ling" itu, dan kekhuatirannya terhadap hubungan bersekutu dengan lima negeri yang baru terjalin itu akan terjejas. Beliau amat bimbang terhadap masa depan tanah airnya.

Qu Yuan semakin bimbang apabila mendapat tahu apa yang berlaku di dalam istana. Raja Huai bersama dengan Permaisuri Zheng Xiu hanya bersuka-sukaan dan menikmati kemewahan yang melampaui batas setiap hari tanpa mempedulikan urusan dan pentadbiran negeri. Keluarga diraja hanya mengejar nikmat dan hiburan yang bermacam-macam rupa, di samping mengaturkan pelbagai jamuan dan pertunjukan seni yang mewah-mewah. Kuasa kerajaan pula, sebenarnya dipegang oleh Jin Shang dan Zi Jiao, dua orang anggota utama golongan bangsawan. Kumpulan yang dianggap jahat ini telah menfitnah beberapa ramai pegawai yang bersih dan jujur, menyingkirkan mereka yang tidak sependapat dengan mereka, melaksanakan sistem cukai yang kejam dan menindas rakyat jelata sewenang-wenangnya.

Akibatnya, negeri Chu yang baru memperlihatkan tanda-tanda membangun itu, segera kembali merosot dan kelihatan semakin lemah. Memandangkan situasi itu, Qu Yuan tidak mengira kepentingan peribadinya lagi dan tidak merasa takut akan dimurkai oleh baginda, lalu mengirim beberapa pucuk surat permohonan kepada baginda untuk mengingatkan baginda dan membantu baginda supaya tahu akan keadaan yang sebenar yang sedang berlaku di negeri Chu. Beliau juga memohon agar beliau dipanggil masuk ke istana untuk berbincang dengan baginda tentang cara-cara membangunkan negeri dan memajukan tanah air ke arah kemakmuran.

Idaman Qu Yuan tercermin dalam sebuah puisi yang dihasilkannya yang berjudul "Rindu akan Jelitawan". Beliau melaungkan kerinduannya terhadap seorang jelitawan yang disayanginya yang sebenarnya merujuk kepada baginda. "Jelitawan ini, betapa dalamnya rinduku kepadamu. Aku meratap pilu dan menanti-nantikan kepulanganmu. Tetapi, kepulangan itu memang sukar terjadi kerana aku tahu, tiada orang tengah membantuku menghubungimu, malah jalan untukmu pulang sudah terputus. Aku mempunyai begitu banyak perkataan yang ingin ku sampaikan kepadamu, tetapi tiada jalan untuk menyampaikannya. Aku berani bercakap dengan terus terang dan adil. Aku tak bimbang ucapan yang ikhlas itu akan membawa kesusahan atau kekesalan. Ketika ini, sukar bagiku menghilangkan kerisauan dan kekesalan itu hingga terpaksa menerima akibatnya yang begitu menyiksakan."

Berbanding dengan keikhlasan yang ditunjukkan oleh Qu Yuan untuk menunggu kepulangan "jelitawan"nya, baginda yang dirujuk sebagai "jelitawan"nya menunjukkan sikap yang agak dingin dan sama sekali tidak memberikan perhatian terhadap permohonan yang dikemukakan oleh Qu Yuan itu.

Raja negeri Qin segera menghantar pegawai kanannya, Zhang Yi untuk melawat negeri Chu, setelah mendapat tahu tentang Qu Yuan yang sudah dipecat dari jawatannya dan kehilangan kepercayaan dari Raja Huai di tanah airnya. Zhang Yi sibuk menghubungi beberapa orang anggota utama golongan bangsawan yang memegang kuasa di negeri Chu, termasuk Permaisuri Zheng Xiu, Shangguandafu Jin Shang dan Perdana Menteri Zi Jiaountuk mendapatkan sokongan mereka supaya menggalakkan Raja Huai bergaul dengan rakyat negeri Qin. Selain itu, Zhang Yi juga membawa begitu banyak hadiah untuk baginda, di samping memuji-muji baginda dengan menggembar-gemburkan sebarang jasa yang dilakukan oleh baginda.

Zhang Yi yang mewakili kerajaan Qin berjanji kepada baginda bahawa sekiranya negeri Chu memutuskan hubungan diplomatiknya dengan negeri Qi, raja negeri Qin sedia memberikan wilayah seluas kira-kira 300,000 meter persegi di kawasan Shangyu kepada negeri Chu sebagai hadiah.

----DAZHONG

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China