Cari:
Qu Yuan, Sasterawan dan Patriot yang Segemilang Matahari (7)
2010-03-03 10:51:14 CRI Cetak

Raja Huai yang memerintah negeri Chu ketika itu dikatakan amat mementingkan kemewahan dan bermata duitan, dan sering kali membuat janji kosong. Baginda juga kurang tegas ketika membuat sesuatu keputusan. Setelah dimaklumkan bahawa negeri Qin boleh memberikan kawasan Shangyu kepada negeri Chu dengan syarat baginda memutuskan hubungan diplomatik dengan negeri Qi, maka baginda segera memutuskan hubungannya dengan negeri Qi untuk mendapatkan kawasan Shangyu.

Apabila mendapat tahu hal tersebut, Qu Yuan merasa amat bimbang dan segera berlepas ke istana untuk memohon mengadap baginda. Beliau bersiap sedia untuk membocorkan niat musuh yang jahat yang tersembunyi di balik tawaran tersebut dan menjelaskannya kepada baginda tentang rancangan sulit yang sebenar yang sedang dilaksanakan oleh Zhang Yi itu.

Bagaimanapun, Qu Yuan tidak dibenarkan masuk ke istana dan beliau terpaksa pulang dengan penuh rasa sebal.

Setelah memutuskan hubungan diplomatik dengan negeri Qi seperti yang dikehendaki oleh negeri Qin, baginda pun menugaskan utusannya supaya berlepas ke negeri itu untuk mengambil alih kawasan Shangyu daripada negeri Qin. Hakikatnya, masakan negeri Qin rela menghadiahkan wilayah yang begitu luas kepada lawannya dengan begitu mudah? Negeri Qin dengan cepat menafikan apa yang dijanjikannya kepada negeri Chu apabila mengetahui matlamatnya sudah tercapai, iaitu memecahkan hubungan antara enam negeri tersebut dan mengelakkan pakatan "Ikat Enam Lawan Satu" daripada wujud.

Setelah mengetahui bahawa negerinya terpedaya, baginda terus murka dan segera menitahkan untuk melancarkan serangan terhadap negeri Qin. Pada masa itu, tentera negeri Chu masih belum membuat persiapan yang cukup kerana tindakan untuk berlepas dari pangkalan menuju ke medan perang itu hanya dibuat mengikut keputusan baginda yang  tergesa-gesa, manakala tentera negeri Qin, yang sudah meramalkan reaksi dari negeri Chu itu, telah bersiap dengan rapi untuk menghadapi serangan tentera lawan utamanya itu.

Pada tahun 312 sebelum Masehi, perang yang pertama antara negeri Chu dengan negeri Qin berlaku di Danyang, iaitu kawasan di bahagian timur Kaunti Nanzheng, Provinsi Shaanxi sekarang, dan seterusnya perang yang kedua tercetus di Lantian, iaitu kaunti Lantian, Provinsi Shaanxi juga.

Akibatnya, tentera negeri Chu yang kalah teruk itu, bukan sahaja gagal mendapatkan kawasan Shangyu  yang luasnya 300,000 meter persegi itu, malah tanah mereka sendiri yang luas di kawasan Hanzhong pula ditawan oleh musuh. Baginda merasa malu lagi murka, lalu terus memutuskan untuk menggunakan semua tentera negeri Chu untuk menyerang habis-habisan negeri Qin yang amat dibenci baginda itu.

Sementara itu, negeri Han dan negeri Wei juga marah akan negeri Chu kerana baginda tidak menuaikan janjinya dan keputusan yang dibuat oleh baginda sudah merosakkan pakatan "Ikat Enam Lawan Satu". Kedua-dua negeri tersebut mengambil peluang melancarkan serangan terhadap negeri Chu dari bahagian timur ketika negeri Chu berperang dengan negeri Qin di bahagian utara. . Akibatnya, negeri Chu sukar menumpukan seluruh perhatian dan tenteranya untuk menentang negeri Qin di utara, kerana tenteranya juga diperlukan untuk mempertahankan negerinya daripada serangan negeri Han dan negeri Wei di sempadan timurnya.

----DAZHONG

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China