Setelah menerima perintah tersebut, Qu Yuan yang sudah pulang ke rumahnya di kaunti Zhigui, segera kembali ke ibu kota Yingdu dengan berjalan tanpa mengira siang atau malam.
Setibanya di Yingdu, beliau terus diatur untuk mengadap baginda. Ketika membincangkan urusan pentadbiran dengan baginda di ruang tengah istana itu, Qu Yuan tidak pernah terfikir untuk membuka rahsia fitnah yang diada-adakan terhadapnya itu, malah tidak pun meminta baginda memulihkan kedudukannya. Beliau yang masih berjawatan Sanyandafu itu, segera menumpukan perhatian dan mencurahkan tenaganya untuk merapatkan semula hubungan antara pelbagai negeri dalam pakatan "Ikat Enam Lawan Satu" itu.
Qu Yuan bekerja bertungkus-lumus, dan berkali-kali membuat lawatan ke negeri-negeri yang berkenaan. Akhirnya, pada tahun 311 sebelum Masehi, Qu Yuan berjaya memujuk negeri Qi menandatangani semula perjanjian dengan negeri Chu untuk memulihkan pakatan sekutu yang telah terjejas itu. Kejayaan tersebut sudahpasti tidak akan tercapai tanpa usaha Qu Yuan yang beretika tinggi dan berbakat besar dalam bidang diplomatik itu.
Wujudnya pakatan negeri Qi-Chu merupakan halangan yang terbesar bagi negeri Qin dalam usaha menewaskan enam negeri yang lain untuk menyatukan seluruh negara China. Memandangkan situasi politik yang sudah berubah itu, Raja Hui yang memerintah negeri Qin memutuskan akan menggunakan tektik yang serupa dengan yang pernah digunakannya pada satu masa dahulu. Baginda menghantar utusannya ke negeri Chu untuk berdamai dan menyatakan bahawa negerinya bersedia mengembalikan setengah kawasan Hanzhong kepada negeri Chu.
Namun, setelah mengalami perubahan situasi politik yang begitu banyak, baginda menjadi amat benci akan Zhang Yi, pegawai kanan negeri Qin yang telah merancangkan tipu muslihat dalam pelbagai rupa terhadap negeri Chu. Jadi, baginda pun menyatakan persetujuannya untuk menjalin hubungan damai dengan negeri Qin dengan syarat Raja Hui dari negeri Qin menangkap Zhang Yi dan menyerahkannya kepada negeri Chu.
Zhang Yi terpaksa menerima keputusan Raja Hui untuk menyerahkannya kepada negeri Chu sebagai tahanan. Keputusan ini dibuat ekoran negeri Qin mahu meredakan ketegangan hubungannnya dengan negeri Chu untuk sementara waktu. Qu Yuan yang baru pulang dari negeri Qi dalam menjalankan misi memperbaiki hubungan luar dengannya, kebetulan berjumpa dengan Zhang Yi yang baru dihantar ke negeri Chu. Qu Yuan berusaha bersungguh-sungguh untuk memujuk baginda supaya membunuh Zhang Yi dan memutuskan hubungan luarnya dengan negeri Qin. Tindakan itu akan membantu baginda mengukuhkan tekad untuk melaksanakan dasar "Ikat Enam Lawan Satu".
----DAZHONG