Tahun baru China juga selalu disebut "Guo Nian" dalam bahasa Mandarin. Dalam pesta yang paling meriah dan gembira di China ini, mengucapkan "Selamat Tahun Baru" kepada orang lain merupakan amalan yang amat penting. Ia juga merupakan cara untuk menyampaikan salam dan harapan yang baik antara satu sama lain dalam masyarakat China. Pada pagi hari pertama Tahun Baru China, golongan muda perlu mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada orang tua terlebih dahulu dan mendoakan semoga mereka sihat dan bahagia selalu. Jika bertemu dengan teman-teman di luar juga, mereka akan saling mengucapkan "Selamat Tahun Baru" atau "Gong Xi Fa Cai".
Seterusnya, saya akan menghidangkan lagu yang berjudul "Selamat Tahun Baru China" yang menceritakan perasaan dan tradisi yang diamalkan pada hari pertama Tahun Baru China. Lagu rakyat ini amat popular di kawasan timur laut China.
Sempena perayaan ini, saudara akan dapat melihat pintu rumah keluarga orang China akan dihias dengan perkataan China "Fu" yang bermakna bahagia, bertuah dan beruntung. Perkataan ini selalu ditampal secara terbalik, kerana dalam bahasa Mandarin, sebutan untuk kata "terbalik" dan kata "tiba" adalah sama. Dengan berbuat demikian, "Fu" yang ditampal terbalik ini membawa makna "bahagia tiba".
Sekarang marilah kita bersama-sama menikmati muzik yang berjudul "Bahagia Tiba". Saya harap muzik yang rancak ini juga dapat membawa "kesejahteraan dan keuntungan" kepada saudara semua.
Dalam tempoh cuti perayaan ini, ahli keluarga akan berkumpul untuk makan dan minum bersama-sama dengan penuh gembira. Mereka juga akan mengunjungi kawan-kawan, melancong ke destinasi pelancongan yang diminati atau berehat sahaja di rumah. Perayaan Tahun Baru China bukan sahaja perayaan bagi orang keturunan Han, tetapi juga merupakan perayaan bagi semua etnik di China.
Seterusnya, saya akan menyiarkan lagu rakyat etnik Tajik di Xinjiang yang berjudul "Guli Bita". Lagu ini ialah lagu cinta yang menceritakan perasaan cinta seorang jejaka terhadap kekasihnya Guli Bita. Silalah nikmati.
Akhir sekali, marilah kita bersama-sama menikmati lagu rakyat etnik Miao yang berjudul "Goyang ke Kanan dan ke Kiri". Lagu ini menceritakan bagaimana gadis-gadis etnik Miao, yang memakai pakaian yang berwarna-warni dengan perhiasan dan barang kemas daripada perak berjalan, nampak bergoyang ke kanan dan ke kiri. Silalah nikmati lagu ini.
Sekianlah rancangan kali ini. Saya di Beijing, mengucapkan Selamat Tahun Baru China kepada saudara sekalian, di mana juga suadara berada! Semoga saudara gembira dan sihat selalu.