Cari:
Qu Yuan: Sasterawan dan Patriot yang Segemilang Matahari (9)
2010-03-17 10:33:43 CRI Cetak

Raja Huai di Negeri Chu tidak menerima nasihat Qu Yuan itu. Baginda pada mulanya, telah menangkap Zhang Yi dan menahannya dalam penjara, tetapi kemudian,  membebaskannya selepas dihasut oleh beberapa orang pengkhianat seperti Permaisuri Zheng Xiu dan Shangguandafu (Penasihat Diraja), Jin Shang. Golongan bangsawan ini dikatakan berkongkol dengan negeri Qin, iaitu musuh bagi negeri Chu ketika itu.

Baginda sukar mempercayai Qu Yuan lagi kerana para pengkhianat tersebut sering membuat fitnah terhadapnya, pegawai yang setia itu. Maka, Qu Yuan terpaksa berdepan dengan tekanan yang besar dan sukar untuk menjalankan kerjanya.

Tidak lama selepas itu, dengan menggunakan hubungan perkahwinan yang sudah wujud antara anggota keluarganya dengan anggota keluarga raja di negeri Chu, raja negeri Qin menyuarakan harapannya untuk menjalinkan hubungan sekutu politik dengan negeri itu supaya dapat melawan lima negeri yang lain.

Qu Yuan menentang keras cadangan yang dikemukakan oleh negeri Qin tersebut dan memujuk Raja Huai supaya berjaga-jaga terhadap negeri Qin yang sudah biasa melakukan tipu muslihat di balik tirai. Tetapi, baginda tidak menerima nasihat Qu Yuan, sebaliknya menganggap pegawai yang bijak itu celupar, lalu membuangnya ke kawasan Hanbei dengan alasan untuk membantu menagihkan barang bantuan cemas kepada mangsa bencana.

Qu Yuan yang terpaksa hidup dalam buangan di kawasan Hanbei itu berasa semakin khuatir ketika menyaksikan negeri Chu kian hari kian merosot. Setelah dilarang masuk ke istana untuk menyertai perbincangan tentang pentadbiran negeri, Qu Yuan memilih untuk menyuarakan cita-citanya melalui puisi.

Terdapat sebuah puisi yang bertajuk "Chou Si" yang dihasilkan oleh Qu Yuan yang berbunyi, "Kebimbangan semakin menimbun di kalbu ini. Aku sedih, keluh kesah sendirian. Sukar rela hati kerana aku dilanda kerisauan bertubi-tubi. Malam yang amat gelap ini memang panjang, penuh dengan ketidakpastian."

Bagaimanapun, Qu Yuan masih belum putus asa dengan sikap Raja Huai yang memerintah di tanah airnya itu. Beliau terus menyuarakan keinginannya dalam puisi tersebut bahawa beliau amat mahu pulang ke ibu kota Yingdu untuk membantu baginda.

Tidak lama selepas itu, Qu Yuan membuat rumusan tentangp pengalaman dan pemikirannya lalu menghasilkan sebuah karya yang cemerlang, iaitu "Li Sao". Ketika itu beliau belum pun mencapai separuh umur.

"Li Sao" yang diiktiraf sebagai karya contoh bagi seluruh karya ciptaan Qu Yuan, merupakan puisi romantik yang berbau politik yang paling panjang dalam bidang kesusasteraan klasik China. "Li Sao" bermakna dilanda kerisauan. Ini mengikut penjelasan yang dibuat oleh Sima Qian dan Ban Gu, dua orang ahli sejarah yang tersohor dalam sejarah purba China.

Puisi panjang tersebut terdiri daripada tiga bab. Dalam bab pertama, penulisnya terlebih dahulu menjelaskan latar belakang keluarganya, minatnya yang besar dalam bidang kesusasteraan dan cita-citanya yang tinggi dalam bidang politik.

Seterusnya, Qu Yuan menceritakan perjuangan politik yang berlaku di negeri Chu ketika beliau membantu Raja Huai memulakan pembaharuan. Menurutnya, pembaharuan itu sukar dijayakan kerana ditentang oleh golongan bangsawan ketika itu yang merasakan kepentingan mereka akan terjejas jika pembaharuan tersebut dilaksanakan. Malah, golongan bangsawan tersebut telah membuat fitnah dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menekan kumpulan pegawai yang setia yang mahu memajukan tanah air.

Qu Yuan, dalam bukunya itu, mengutuk golongan bangsawan yang berniat jahat itu dan menyuarakan tekadnya untuk mempertahankan etika yang mulia dan cita-cita politik yang tinggi yang diimpikannya sejak sekian lama.

----DAZHONG

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China