Zhang Qian pernah dua kali melawat ke kawasan Asia Tengah pada zaman Dinasti Han Barat (tahun 206 hingga 8 sebelum Masehi) untuk meningkatkan hubungan dengan etnik minoriti yang hidup di sana. Lawatan beliau berjaya meneroka Jalan Sutera serta meningkatkan kerjasama dan pembangunan ekonomi dan budaya Dinasti Han dengan pelbagai negara di Asia Tengah.
Pada zaman Dinasti Han, etnik Hun yang menggembala di bahagian utara China merupakan ancaman paling besar kepada kerajaan Dinasti Han. Mereka sering menceroboh ke wilayah Dinasti Han untuk menawan penduduk, dan merampas binatang ternakan dan harta benda mereka. Pada suatu ketika, tentera Hun menceroboh hingga ke Chang'an, ibu negara Han. Ketika itu, Dinasti Han baru sahaja ditubuhkan. Jadi, ia kurang upaya untuk menentang pencerobohan etnik Hun itu, dan terpaksa mengalah, dan menghantar seorang puteri ke utara untuk berkahwin dengan raja Hun. Hinggalah apabile Maharaja Wu naik takhta, dan kekuatan Dinasti Han meningkat secara besar-besaran, baginda berancang untuk membalas pencerobohan etnik Hun itu.
Pada ketika itu juga, raja etnik Hun telah membunuh raja etnik Yüeh-chin Besar di bahagian barat. Putera raja Yüeh-chin Besar merancang untuk membalas dendam terhadap peristiwa tersebut. Maharaja Wu memutuskan untuk menggunakan peluang ini dan bersekutu dengan etnik Yüeh-chin Besar untuk bersama-sama memerangi etnik Hun. Pada tahun 138 sebelum Masehi, Zhang Qian mengetuai rombongannya seramai 100 orang lebih berlepas menuju ke bahagian barat. Pada masa itu, jalan ke bahagian barat pula dikawal oleh etnik Hun. Zhang Qian dan semua anggota rombongannya telah ditangkap oleh tentera etnik Hun dalam perjalanan itu, dan ditahan selama 10 tahun. Pada tahun 129 sebelum masehi, Zhang Qiang berjaya melarikan diri. Dengan membiarkan anak dan isterinya masih dalam tahanan etnik Hun, beliau memutuskan untuk menunaikan tugasnya dan akhirnya sampai ke bahagian Asia Tengah, iaitu tempat baru bagi etnik Yüeh-chin Besar yang telah berpmindah. Pada masa itu pula, etnik Yüeh-chin Besar tidak berminat lagi untuk berperang dengan etnik Hun. Jadi, Zhang Qian terpaksa kembali ke timur. Namun, dalam perjalanannya, beliau sekali lagi ditangkap oleh etnik Hun. Lebih setahun kemudian, dengan menggunakan peluang perang saudara dalam kalangan etnik Hun, beliau berjaya membawa isteri dan anaknya melarikan diri dan kembali ke Chang'an, iaitu pada tahun 126 sebelum Masehi.
Meskipun Zhang Qian gagal menunaikan tugasnya, lawatan beliau berjaya meneroka jalan ke Asia Tengah dan Barat, iaitu "jalan Sutera", mempererat persahabatan antara etnik Han dengan pelbagia etnik minoriti di bahagian barat dan juga menggalakkan kerjasama ekonomi dan budaya antara pelbagai pihak.