"Jiu Ge" pula dihasilkan oleh Qu Yuan berdasarkan lagu rakyat tempatan yang berkait dengan upacara menyembah dewa-dewi. Sebenarnya, ia bukan sahaja merupakan sekumpulan lagu yang digunakan ketika upacara itu berlangsung, malah merupakan sekumpulan puisi romantik yang cukup indah. "Dong Huang Tai Yi", bab pertama dalam "Jiu Ge" bertujuan untuk mengalu-alukan kedatangan dewa-dewi, manakala "Li Hun" yang diletakkan sebagai bab terakhir dalam karya tersebut bermakdus menghantar kepulangan dewa-dewi.
Dalam bahagian tengah "Jiu Ge", Qu Yuan menggambarkan cerita tentang empat pasang dewa-dewi yang berada dalam majlis persembahan itu, iaitu Dongjun dengan Yunzhongjun, Siming Besar dengan Siming Kecil, Hebo dengan Shangui, dan Dewa Xiang dengan Dewi Xiang. Kesemua dewa-dewi tersebut diberi gambaran yang hidup dan dikisahkan seperti manusia yang biasa. Mereka juga mengejar kehidupan yang bebas dan cinta sejati seperti yang sejadi yang wujud dalam masyarakat manusia tanpa mempedulikan kehidupan itu tercampur dengan kerisauan, kesedihan atau kebimbangan.
"Guo Shang" merupakan sebuah lagu dukacita yang dinyanyikan untuk anggota tentera yang terkorban di medan perang. Selain memberikan gambaran tentang keadaan pertempuran yang dahsyat di medan perang, lagu ini juga penuh dengan semangat yang kental dan suasana yang tragis dan sering dinyanyikan dalam sesi motivasi untuk anggota tentera.
"Tian Wen" bermakna "bertanya kepada langit". "Langit" ini bukan sahaja merujuk kepada alam sekitar, tetapi juga merangkumi masyarakat manusia. "Tian Wen" merupakan sebuah artikel yang hebat yang dihasilkan oleh Qu Yuan setelah beliau menimba pengalaman yang cukup banyak dan setelah pemikirannya memasuki tahap yang tinggi. Dalam artikel tersebut, Qu Yuan mengemukakan 172 soalan yang melibatkan langit, bumi, dewa-dewi, mitos, legenda, politik, falsafah, etika, budi dan adat resam, khususnya pelbagai legenda tentang bagaimana wujudnya cakrawala. Soalan-soalan tersebut menggambarkan betapa luasnya pengetahuan penulisnya dan betapa kuatnya hasrat beliau untuk menyelidik kebenaran.
Setelah membuat persiapan yang mencukupi, Raja Zhao dari negeri Qin menitahkan General Bai Qi supaya membawa tentera utamanya melancarkan serangan secara mendadak terhadap negeri Chu pada tahun 278 sebelum Masehi.
Sementera itu, Raja Qingxiang di negeri Chu yang bangga dengan identitinya sebagai menantu kepada Raja Zhao dari negeri Qin itu, tidak membuat apa-apa persiapan pun untuk menghalang atau menghadapi serangan tersebut. Akibatnya, tentera Chu begitu mudah dikalahkan oleh tentera Qin, dan terpaksa mereka berundur dari satu kota ke satu kota. Kemudian, tentera Qin yang menang dengan mudah itu pun menakluk kota Chu satu demi satu, termasuk Hanbei, lalu mara hingga betul-betul di luar ibu kota Yingdu.
Raja Qingxiang yang merasa amat takut ketika itu bergegas meninggalkan ibu kota Yingdu dan melarikan diri ke Chencheng, iaitu Kaunti Huaiyang di Provinsi Henan sekarang.
Apabila mendengar khabar itu, Qu Yuan amat terkejut, takut, marah, dan tidak dapat menahan sabar lagi. Malah beliau tidak percaya bahawa ibu kota Yingdu akan ditakluk oleh musuh dan tanah airnya akan diperintah oleh pemerintah yang lain.