Cari:
Qu Yuan, Sasterawan dan Patriot yang Segemilang Matahari (15)
2010-04-28 09:14:40 CRI Cetak
Beberapa hari selepas itu, Qu Yuan menghasilkan sebuah puisi yang bertajuk "Ai Ying" yang bermaksud berdukacita untuk ibu kota Yingdu. Puisi yang dihasilkannya dalam suasana yang tragis itu, menunjukkan gambaran yang hidup tentang rasa rindunya yang mendalam terhadap tanah airnya, simpatinya yang ikhlas terhadap rakyat yang hidup dalam sengsara, dan rasa sedihnya lantaran dilanda bencanan berturut-turut.

Ketika membayangkan tentera negeri Qin yang sedang memusnahkan Kuil Diraja Negeri Chu, menggali dan membakar makam nenek moyang di tanah airnya, Qu Yuan berasa amat malu kerana tidak berdaya menyelamatkan tanah airnya yang sedang diceroboh dan dihina oleh musuh dan membantu rakyatnya yang sedang hidup terseksa. Apalah maknanya, hidupnya yang sentiasa dalam pelarian seumpama itu. Qu Yuan bertekad untuk sehidup semati dengan tanah airnya dan terus menyuarakan hasrat tersebut dalam puisinya "Huai Sha" yang dihasilkannya selepas itu.

Pada awal bulan kelima tahun itu, Qu Yuan telah pergi ke sungai Miluo, cawangan sungai Yangtze yang berhampiran dengan bandar Changsha. Beliau melihat air sungai Miluo itu mengalir deras, bagaikan kesengsaraan yang bertalu-talu melanda negeri Chu. Hatinya begitu sedih ketika itu.

Qu Yuan menuju ke utara, mengenang kembali perjuangannya yang bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan dan memajukan negeri Chu, lalu menghasilkan karyanya yang terakhir yang berjudul "Kenangan Masa Silam". Dalam karya tersebut, Qu Yuan menghuraikan sebabnya beliau memilih untuk membunuh diri. Pertama, politik di negeri Chu sudah terlalu kotor dan masa depannya gelap. Ini mengecewakan kebanyakan tokoh yang bijak yang sentiasa berbakti kepada tanah air, dan menjadikan mereka putus asa. Kedua, beliau tidak mahu melihat tanah airnya terus menuju keruntuhan dan tidak sanggup lagi menyaksikan lebih banyak bencana berlaku. Ketiga, beliau sanggup memberi ingatan kepada baginda melalui kematiannya dan berharap baginda akan berubah sikap daripada suka bermalas-malas, kepada menumpukan perhatian untuk memajukan negeri, malah beliau berharap agar negeri Chu menjadi selamat selepas pemergiannya.

Puisi "Kenangan Masa Silam" itu menggambarkan cita-cita politik yang positif yang sentiasa dipegang oleh Qu Yuan dan pemikirannya yang amat patriotik itu.

Setelah menghasilkan puisi terakhir itu, Qu Yuan terus melompat ke dalam sungai Miluo yang bergelombang besar, sekali gus mengakhiri hayatnya yang sentiasa dilanda tragedi itu.

Selepas itu, apabila tiba ulang tahun Qu Yuan membunuh diri, iaitu hari kelima bulan kelima menurut kalendar tradisional China, rakyat negara ini akan mendayungh perahu naga di sungai dan membuang ketupat ke dalam sungai untuk memperingati Qu Yuan, sasterawan yang juga patriot yang memberikan cahaya segemilang matahari.

Apabila menyentuh sumbangannya yang dihasilkannya dalam bidang kesusasteraan, karya Qu Yuan sebenarnya mempamerkan khayalannya yang jauh dan kaedah menggambarkan sesuatu dengan cara yang cukup berani, sehingga memberikan pengaruh yang besar dalam sejarah perkembangan puisi romantik pada zaman purba China. Kejayaan Qu Yuan dalam bidang pemikiran falsafah dan kesusasteraan ini, bukan sahaja membawa sinar kepada perkembangan kebudayaan di kawasan aliran sungai Yangtze, dan di seluruh negara China dalam tempoh hampir 2,000 tahun yang lalu, tetapi juga meninggalkan warisan budaya yang cemerlang untuk seluruh umat manusia.

Dengan demikian, Qu Yuan diberi gelaran sebagai "Sasterawan Agung Sejagat". Karya-karyanya telah tersebar ke Jepun seawal abad ke-7, dan mulai tersebar ke Eropah pada awal abad ke-19. "Chu Ci" ciptaan Qu Yuan yang telah diterjemah dalam pelbagai bahasa, seperti bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, Itali dan Rusia telah dicetak berulang kali.

Hakikatnya, Qu Yuan bukan sahaja hidup dalam hati rakyat China, malah hidup dalam hati rakyat seluruh dunia.

----DAZHONG

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China