Sebagai hidangan pertama, marilah kita bersama-sama menikmati lagu etnik Jino yang berjudul "Larut Malam yang Sunyi" yang dipersembahkan oleh Lei Jia. Orang etnik Jino kebanyakannya tinggal di provinsi Yunnan, bahagian barat daya China. Orang etnik ini suka menari dan menyanyi. Sejak dari kecil lagi, mereka sudah mula mengikut irama lagu rakyat tradisional. Jadi, apabila besar, mereka menjadi amat pandai menyanyi dengan lirik lagu yang dicipta oleh mereka sendiri. Lagu yang akan kita dengar ini, yang diiringi dengan alat muzik Hulusi, iaitu sejenis alat muzik tradisional China, menceritakan kisah tentang teruna dan dara yang bertemu dengan perasaan cinta yang cukup indah. Lirik lagunya, antara lain berbunyi "Larut malam yang sunyi, kami berdua bertemu dengan perasaan cinta yang manis. Kami dijanjikan untuk satu sama lain dengan cinta, lebih rapat daripada sayap kumbang."
Lei Jia ialah seorang penyanyi yang muda tetapi amat berbakat. Suaranya merdu dan gayanya menyanyi sederhana.
Sekarang, saya akan menyiarkan lagu etnik Dai yang berjudul "Cahaya Bulan". Etnik Dai ialah etnik minoriti yang mempunyai sejarah yang lama. Muzik lagu rakyat Dai merdu. Lagu ini menceritakan tentang pemandangan yang indah pada malam yang disinari bulan. Ketika itu, gadis Dai merindui kekasihnya, tetapi malu untuk mencurahkan perasaannya. Lirik lagunya, antara lain berbunyi "Aku sudah menggantung bulan di langit, menunggu abang meniup Lusheng. Malam mewarnakan rambutku menjadi hitam. Angin menghembus bajuku. Bayangan bulan dalam sungai berombak-ombak. Hatiku rasa terbang ke rumpun buluh ditebing sana, malah terbang ke langit tinggi. Abang rentasilah sungai dan lihatlah ke bulan yang terang".
Seterusnya saya akan menyiarkan lagu etnik Mulao, "Lagu Qiangbei" yang dinyanyikan bersama-sama oleh Lei Jia dan biduan Wang Hongwei. Etnik Mulao adalah antara etnik yang bilangan anggotanya paling kecil di China. Masyarakat etnik ini kebanyakannya tinggal di Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi. Orang Etnik Mulao selalu menyampaikan perasaan gembira atau sedih melalui nyanyian, baik dalam upacara perkahwinan atau pengebuminan, mahupun dalam aktiviti menyambut perayaan atau pesta. Lagu Qiangbei ini dinyanyikan secara berseloka antara teruna dan dara untuk menyatakan harapan mereka terhadap cinta dan kehidupan.
Akhir sekali, marilah kita bersama-sama menikmati lagu rakyat etnik Dongxiang yang berjudul "Kekasihku di Dongxiang". Masyarakat Etnik Dongxiang tinggal di kawasan timur laut China. Lagu ini, dengan lirik lagunya yang ringkas dan berciri tempatan, menggambarkan sifat terus terang pemuda etnik Dongxiang ketika meluahkan rasa cintanya.