Cari:
Laozi, Ahli Falsafah Paling Cemerlang di China pada Zaman Purba (2)
2010-05-12 21:25:47 CRI Cetak

Ibu Laozi dikatakan mungkin meninggal dunia disebabkan menghadapi kesukaran ketika bersalin. Maka, Laozi segera menjadi anak yatim piatu apabila dilahirkan. Ramai wanita yang menyusui anak mereka selepas bersalin bersedia memeliharanya kerana keluarga Laozi mempunyai hubungan yang baik dengan jiran tetangga.

Dalam begitu banyak pilihan, Laozi yang masih bayi itu telah memilih untuk menyusu kepada Puan Laolai yang berumur lebih 40 tahun, seorang pendatang yang baru kehilangan bayi perempuannya.

Dengan demikian, Laozi diambil oleh Puan Laolai sebagai anak angkatnya.

Pasangan suami isteri Laolai yang mengambil Laozi sebagai anak angkat, memberi nama Li Er kepada Laozi ketika beliau masih bayi lagi, kerana nama keluarga ayah Laozi ialah Li, dan "Er" itu bermaksud telinga dalam bahasa Mandarin. Mereka menyaksikan Laozi mempunyai sepasang telinga yang agak besar lagi menonjol.

Di kampung halaman Laozi, beliau pada awalnya dikenali sebagai Laolaizi oleh sebab ayah angkatnya bernama Laolai. Akhirnya, beliau disebut Laozi yang "Lao" itu bermaksud "tua" lagi "panjang umur" kerana Laozi sememangnya dapat menikmati umur yang panjang, tambahan lagi beliau telah menghasilkan sebuah buku yang kebetulan berjudul "Laozi".

Menurut ceritanya, Laozi agak cerdas, pintar, baik hati dan berminat belajar sejak kecil lagi. Beliau mengikut Guru Chang Cong untuk menjalani persekolahannya. Guru Chang Cong tinggal di Changjiapo yang terletak kira-kira 10 kilometer jauhnya dari rumah Laozi.

Laozi selalu sahaja memilih duduk di barisan terdepan semasa mengikuti persekolahan. Apabila selesai makan makanan untuk tengah hari yang dibawanya sendiri dari rumah, Laozi pastinya berlari ke satu kawasan hutan kecil yang berdekatan dengan bangunan sekolahnya untuk berlatih mendeklamasikan karangan dan puisi. Itulah sebabnya, beliau digelar oleh teman sekolahnya sebagai "Gila Belajar".

Terdapat seorang teman sekolah Laozi yang bernama Du Jie. Beliau begitu sombong dengan kecerdasannya dan menggelar dirinya sebagai "pelajar yang tercerdas". Memandangkan Laozi yang selalu mencapai hasil yang memuaskan dalam persekolahannya, Du Jie meminta gurunya supaya mengatur satu pertandingan antara dia dengan Laozi, iaitu mendeklamasikan karangan dan puisi.

Pada masa itu, semua karangan, puisi atau sesebuah buku adalah diukirkan ke atas kepingan buluh.

Pada pusingan pertama semasa pertandingan tersebut berlangsung, Du Jie berjaya mendeklamasikan karangan dan puisi sebanyak 26 keping buluh, manakala Laozi 29 keping. Selepas itu, Du Jie berasa agak gementar sebelum bermulanya pertandingan pusingan kedua, dan berazam sedaya upayanya untuk mengalahkan Laozi. Jika gagal pada kali ini, beliau akan mewar-warkan kepada teman-teman sekolahnya bahawa beliau tidak mahu hidup lagi.

Akhirnya, Du Jie hanya dapat mendeklamasikan sebanyak 33 keping sahaja secara terputus-putus dalam pusingan kedua, dan dengan berhempas-pulas mendeklamasikan 45 keping dalam pusingan ketiga.

Ketika Laozi beraksi dalam kedua-dua pusingan pertandingan tersebut, beliau fasih mendeklamasikan 32 keping dan 44 keping secara berasingan, dan tidak mahu meneruskan aksinya lagi walaupun sudah hafal buku-buku yang dideklamasikan itu.

Dengan demikian, Laozi diputuskan kalah mengikut perjanjian yang ditetapkan sebelum itu. Beliau turut menerima hukuman dari guru mereka, iaitu dengan dipukul tangan. Tidak lama selepas itu, para pelajar memberitahu Guru Chang Cong yang bertanggungjawab menjalankan hukuman bahawa Laozi sebenarnya sengaja memberikan kemenangan kepada si Du Jie.

Setelah mengetahui Laozi yang begitu murah hati dan bertolerensi, Chong Cong terasa amat kesal akan tindakannya yang telah menghukum Laozi.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China