Menurut catatan sejarah, setelah dewasa, Li Zong telah dilantik sebagai jeneral di negeri Wei.
Laozi mula memberikan syarahan ketika berusia pertengahan umur, namun tidak lama kemudian, beliau menjadi sangat terkenal. Ketika berusia 50-an itulah, beliau buat kali pertamanya berjumpa dengan Konfusius di Peidi. Beliau terus berkata kepada Kofusius, "Saya terdengar tuan berminat dan pandai sekali menjelaskan isu kesantunan dan budi bahasa."
Konfusius yang baru sahaja berusia 30-an pada masa itu, amat menghormati Laozi yang dikatakan berpengetahuan luas itu. Beliau segera menjawab, "Anda tidak patut memanggil saya 'tuan', sebaliknya saya yang patut memanggil anda 'tuan'. Sebenarnya, saya masih perlu belajar kepada tuan." Lalu, Konfusius tunduk memberikan ucap selamat yang rasmi kepada Laozi dan menganggap beliau sebagai gurunya.
Sesudah itu, Konfusius menyarankan supaya Laozi membuka sekolah untuk menyebarkan ilmu melalui syarahan. Laozi terus menerima saranan tersebut.
Tidak lama setelah memulakan syarahan di sekolah yang dibukanya, Laozi menjadi semakin terkenal. Untuk mengetahui kenapa Laozi mendapat sambutan yang begitu hangat, kgetua kaunti di situ, Ao Qiang telah menghantar beberapa orang kakitangannya pergi ke sekolah Laozi untuk mendengar syarahannya dari sebelah bilik kuliahnya. Kemudian, kakitangan tersebut pulang ke pejabat Ao Qiang dan melaporkan bahawa Laozi memberikan syarahan yang berkait dengan "perubahan" yang ditegaskannya sebagai hukum yang mesti dipatuhi oleh semua orang, baik yang miskin mahupun yang kaya.
Ketua kaunti tersebut menjadi marah dan mengeluarkan perintah supaya Laozi ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara.
Hanya beberapa hari selepas itu, Ao Qiang dipecat dari jawatannya atas dakwaan bersekongkol dengan sebuah negara asing. Maka, dia telah digantikan dengan ketua yang baru, iaitu Yan Pu.
Yan Pu yang amat menghormati Laozi kerana berpengetahuan luas itu segera membebaskannya dari penjara sebaik sahaja beliau memegang jawatan baru itu. Kemudian, Yan Pu masih berulang kali mengundang Laozi untuk berkhidmat sebagai pegawai dalam kerajaan peringkat kaunti. Bagaimanapun, Laozi menolak undangan itu dengan menyatakan keinginannya hanya mahu menjadi pensyarah sahaja.
Tidak lama selepas kembali ke sekolah miliknya, Laozi menerima sepucuk surat arahan dari kerajaan pusat yang meminta beliau datang untuk berkhidmat di bandar Luoyang, ibu negara pada zaman Dinasti Zhou ketika itu.
Pelantikan tersebut sebenarnya disyorkan oleh Yan Pu, anak saudara Ji Rujin, iaitu abang Raja Jing pada zaman Dinasti Zhou itu. Laozi dikatakan sudah lulus ujian melalui sebuah kes yang aneh yang berkait dengan emas dan berjaya memperoleh keyakinan baginda.
Laozi dilantik ke jawatan "Cang Shou Shi", yang juga disebut "Zheng Cang Shi" atau "Zhu Xia Shi".