Ketika menyaksikan Laozi begitu teliti menjalankan tugasnya di ruangan tengah istana, baginda amat menghargai kerja susah itu dan membenarkan beliau bersandar pada sebatang tiang sambil bekerja. Ini merupakan layanan khas baginda kepada Laozi, manakala pegawai yang lain perlu berdiri ketika bekerja dengan baginda.
Tidak lama selepas itu, baginda menitahkan pelayannya supaya meletakkan sebuah meja untuk digunakan oleh Laozi di sebelah tiang itu. Dengan demikian, Laozi dikenali sebagai "Zhu Xia Shi" yang bermaksud pegawai yang mengendalikan urusan sejarah yang bertugas di pangkal tiang. Tugasnya merangkumi penyelidikan, penyusunan dan penyimpanan bahan sejarah.
Setelah diberikan kerja yang sesuai dengan minatnya dalam bidang keilmuan, Laozi bukan sahaja dapat belajar dari kitab sejarah yang begitu banyak jumlahnya, malah juga dapat mengumpulkan banyak bahan yang berkait dengan keadaan semasa dalam masyarakat ketika itu.
Pada suatu ketika selepas itu, Putera Chao dan Putera Meng telah bertarung untuk merebut takhta. Setelah kalah dalam pertarungan itu, Putera Chao telah melarikan diri ke luar ibu kota dengan membawa semua bahan sejarah dan kitab purba.
Laozi terpaksa menghentikan kerja rutinnya dengan ketiadaan bahan sejarah itu, lalu kembali ke kampung halamannya.
Setelah Raja Jing pada zaman Dinasti Zhou naik takhta, Laozi dipanggil oleh baginda untuk bertugas semula dalam kerajaan. Namun, tempoh perkhidmatannya hanyalahdua tahun. Laozi dipercayai bersara pada usia 70-an.
Pada masa jawatan Laozi dipulihkan , Konfusius pula dilantik oleh Raja Ding di Negeri Lu sebagai Pengetua Kaunti Zhongdu. Beliau menyindir dirinya sendiri sebagai "belum menguasai teori hukum sosial, walaupun sudah berumur 51 tahun."
Setelah memulakan tugasnya sebagai Pengetua di Kaunti Zhongdu, Konfusius mendapati masyarakat di tempat itu kurang baik tatasosialnya. Gejala penduduk tempatan bergaduh selepas minum dan mabuk sering kelihatan.
Dengan demikian, Konfusius dan pelajarnya, Nangong Jingshu, berlepas ke ibu kota Luoyang untuk meminta tunjuk ajar dari Laozi tentang "kesantunan dan budi bahasa".
Laozi menerangkan secara terperinci kepada Konfusius dan pelajarnya tentang "kesantunan dan budi bahasa pada zaman Dinasti Zhou." Kata beliau, "kesantunan dan budi bahasa" berfungsi membantu umat manusia membina masyarakat yang selamat, dan keselamatan masyarakat akan terjejas tanpa pelaksanaan "kesantunan dan budi bahasa" itu. Maka, menurut beliau, kita patut belajar tentang "kesantunan dan budi bahasa" yang dilihat sebagai pengendalian yang bersifat harmoni terhadap diri sendiri.
Setelah mendengar penerangan Laozi dengan penuh asyik, Konfusius rasa amat terharu sehingga menitis air matanya. Beliau berazam akan menyebarkan dan mengamalkan "kesantunan dan budi bahasa" setelah kembali ke kaunti Zhongdu.
Ini membuktikan bahawa ajaran Konfusius dan Taoisme mempunyai persamaan yang tertentu, tidaklah seperti yang dikatakan, iaitu kedua-dua bertentangan sama sekali.