Kata-kata Kofusius tersebut tercatat dalam sebuah buku yang berjudul "Babak Tianyun—Zhuangzi".
Sebenarnya, Laozi diiktiraf sebagai ahli falsafah yang cemerlang bukan sahaja di China, malah di seluruh dunia. Contohnya, Ahli falsafah dari Jerman yang tersohor yang hidup pada abad yang lalu, Heidegger telah menunjukkan bahawa terdapat suatu kenyataan yang bersifat umum yang diujar oleh Laozi, dipercayai sama dengan yang terdapat pada tahap permulaan bidang falsafah di Barat. Selain itu, Akhbar A.S. "New York Times" telah memilih Laozi sebagai salah seorang daripada sepuluh orang penulis yang paling cemerlang di dunia, dari zaman purba hingga ke zaman moden.
Setelah meletakkan jawatannya dalam kerajaan dan kembali ke kampung halamannya, Laozi dikatakan hanya berminat untuk tinggal di tempat yang terpencil dan menumpukan perhatiannya kepada usaha menghasilkan buku. Tetapi, usahanya menjadi sia-sia sahaja apabila suatu hari rumah dan semua buku yang dihasilkannya habis dibakar oleh sekecempukan perompak.
Setelah dilanda kemalangan tersebut, Laozi memutuskan untuk menjelajah ke barat. Tujuannya adalah untuk mengumpulkan sebanyak mungkin bahan yang diperlukan apabila beliau bertapa untuk kali terakhir nanti.
Untuk memulakan penjelajahannya ke barat, Laozi perlu melalui Benteng Hangu sebelum menuju ke Negeri Qin.
Kebetulan, Jeneral Ling Yinxi, panglima tentera yang bertempat di Benteng Hangu, amat menghormati Laozi. Jadi, beliau telah bersiap sedia selama beberapa hari untuk menyambut kedatangan Laozi ke tempatnya. Kemudian, beliau menjemput Laozi ke rumahnya. Di rumahnya, Ling Yinxi memberikan layanan yang istimewa kepada Laozi untuk memujuk ahli falsafah itu supaya memilih Benteng Hangu sebagai tempat tinggal.
Bagaimanapun, Laozi menolak tawaran Ling Yinxi itu kerana beliau tidak mahu mengubah keputusannya untuk menjelajah ke Negeri Qin. Dengan demikian, Ling Yinxi terpaksa menerima keputusan tersebut. Namun, beliau terus berunding dan meminta Laozi menghasilkan sebuah buku dahulu di Benteng Hangu sebelum bertolak ke Negeri Qin. Jika tidak, beliau mengatakan bahawa beliau tidak akan memberikan pas yang diperlukan untuk melalui pos pengawal di Benteng Hangu itu kepada Laozi.
Memandangkan keikhlasan yang ditunjukkan oleh Jeneral Ling Yinxi untuk belajar sesuatu daripadanya itu, sukar bagi Laozi untuk menolak lagi undangannya. Maka, beliau pun dengan tabah dan tenang menerimanya. Dalam suatu tempoh berikutnya, Laozi telah merumuskan pandangan dan pemikirannya dengan bersungguh-sungguh dan selepas membuat penyusunan yang teliti, akhirnya beliau berjaya menghasilkan kitab "Laozi".
Kitab "Laozi" yang terdiri daripada kira-kira 5,000 perkataan itu, diiktiraf umum sebagai khazanah negara yang cemerlang bagi bangsa China dalam bidang kebudayaan.