Huxitar
Huxitar, alat muzik petikan klasik etnik Uygur ini, mempunyai sejarah agak lama. Sebelum tahun 1970-an, alat muzik ini digelar "Aixitar". Nama yang ditransliterasikan dari bahasa Parsi itu bermaksud "lapan utas tali". Bagaimanapun, ketika itu, ia sudah lama pupus.
Pada tahun 1950-an, Aixitar telah ditemui oleh Tursunjan, seorang pemuzik etnik Uygur yang sangat tersohor di China, pada lukisan dinding agama Buddha di Groto Seribu Buddha Kizil di Xinjiang. Tidak lama selepas itu, beliau ternampak lagi gambar-gambar alat muzik yang serupa itu di muzium Xinjiang. Pada ketika itu, cita-cita untuk meniru dan memajukan alat muzik ini pun tersemai dalam hatinya. Selepas itu, melalui usahanya selama hampir 20 tahun, akhirnya beliau berjaya menghasilkan replika Aixitar yang pertama pada tahun 1975. Alat muzik yang baru ini mempunyai 11 utas tali, dan pada hujung pemegangnya diukir bentuk burung lark. Namanya ditukar kepada Huxitar. Dalam bahasa Uygur, "Huxi" bermaksud "amat merdu didengar", manakala "Tar" bermaksud "tali". Gabungan kedua-dua perkataan ini membawa erti "tali yang boleh menghasilkan bunyi yang merdu".
Alat muzik Huxitar ini panjangnya kira-kira 80 sentimeter. Bentuknya mirip alat muzik dari Barat, Mandolin. Kotak resonansnya diperbuat daripada kayu mulberi atau kayu pokok aprikot. Nada tinggi yang dihasilkannya lantang dan terang, nada sederhana yang dihasilkannya amat mantap, manakala, nada rendah yang dikeluarkannya pula agak padat dan bertenaga. Ia lebih sesuai untuk dimainkan dalam persembahan muzik klasik yang penuh perasaan sedih dan pilu.