Cerita tentang umurnya yang begitu panjang mungkin sudah dibesar-besarkan, tetapi Laozi memang sudah dibuktikan pandai menjaga kesihatan dan cara hidupnya dilihat munasabah untuk mengekalkan umur yang panjang. Ada legenda yang memberikan gambaran yang hidup tentang Laozi ketika berusia 50-an, iaitu menunggang lembu yang berwarna hijau, memakai jubah yang berwarna kuning muda dan tali pinggang berwarna putih, dengan wajah matang, alis dan rambutnya sudah menjadi putih. Imej seumpama itu justru seorang dewa yang panjang umur mengikut cerita-cerita yang dikisahkan dalam kesusasteraan tradisi China.
Pada zaman Dinasti Sui, terdapat seorang penganut agama Tao yang bernama Wang Zhiyuan yang meramalkan Dinasti Sui akan digantikan dengan Dinasti Tang. Memandangkan nama keluarga bakal raja pertama Dinasti Tang itu ialah Li, iaitu Li Yuan, maka Wang Zhiyuan pun mula memuju dan mengampu Li Yuan dengan menceritakan bahawa pengasas ajaran Tao adalah Li Er untuk menunjukkan bahawa kedua-dua mereka mempunyai nama keluarga yang sama, iaitu Li.
Pada tahun 617 Masehi, Li Yuan telah membawa tenteranya untuk menyerang Huoshan, tetapi tergendala akibat hujan lebat yang turun tanpa berhenti. Setelah mendengar berita itu, Wang Zhiyuan pun mengatur seorang "Utusan Dewa Baiyi" untuk memberitahu Li Yuan tentang tarikh hujan akan berhenti, malah laluan yang patut diikutinya untuk melancarkan serangan. Tidak lama selepas Li Yuan mencapai kemenangan besar dengan bantuannya itu, Wang Zhiyuan segera menyebarkan sebuah khabar yang dikatakannya diperolehi daripada dewa, iaitu "Kau akan menerajui negara ini pada masa depan."
Dengan demikian, Li Yuan dan anak-anaknya yang turut menjadi raja seorang demi seorang, bersama-sama menyembah Laozi sebagai nenek moyang bagi keluarga mereka.
Pada tahun 666 Masehi, Raja Gaozong mengeluarkan titiah untuk memberikan gelaran "Raja Tai Shang Xuan Yuan" kepada mendiang Laozi. Di samping itu, baginda juga mengeluarkan perintah supayaagama Tao diberi kedudukan yang lebih tinggi daripada agama Buddha.
Pada tahun 674 Masehi, Ratu Wuzetian pula menitahkan supaya kitab "Tao Te Ching", "Kitab Xiao" (ajaran tentang bersopan santun dan berbudi bahasa kepada ibu bapa) serta "Lun Yu" (sebuah karya yang terkenal yang dihasilkan oleh Konfusius) menjadi subjek yang digunakan dalam ujian untuk memilih calon pegawai.
Selepas itu, Raja Ruizong pula membuat keputusan untuk menjadikan dua orang puterinya biarawati agama Tao, lalu menitahkan supaya dibina dua biara yang megah, iaitu Jinxian dan Yuzhen untuk didiami oleh mereka.
Pada tahun 733, Raja Xuanzong menitahkan supaya setiap keluarga mesti memiliki kitab "Tao Te Ching". Baginda menghasilkan penjelasan yang terperinci terhadap setiap ayat dalam kitab tersebut sebagai tanda menghormati ajaran Tao. 10 tahun selepas itu, baginda menitahkan untuk memberikan gelaran yang lebih tinggi kepada Laozi, iaitu "Maharaja Sheng Zu Xuan Yuan" dan sebagainya. Kedudukan Laozi dan agama Tao ditingkatkan ke satu tahap yang begitu tinggi yang tidak pernah ada sebelum itu.
Pada hakikatnya, perintah dan tindakan seumpama itu yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa pada masa itu hanyalah bertujuan membodohkan rakyat dan melemaskan pemikiran mereka supaya dapat mengukuhkan pemerintahan masing-masing.