Selepas itu, baginda pula memulakan pembaharuannya secara menyeluruh. Baginda melantik ramai orang etnik Han yang berbakat untuk membantu baginda, dan mengubah suai adat resam etnik Xianbei mengikut gaya hidup dan tradisi etnik Han. Baginda juga melarang memakai lagi pakaian etnik Xianbei, dan mempromosi pakaian etnik Han; melarang menggunakan bahasa Xianbei, dan mempromosi bahasa Han. Baginda juga memerintah supaya mengubah nama keluarga etnik Xianbei menjadi nama keluarga etnik Han. Nama keluarga diraja, iaitu Tuoba juga diubah menjadi Yuan. Untuk mempererat hubungan dengan bangsawan etnik Han, baginda juga menggalakkan bangsawan etnik Xianbei berkahwin dengan anggota keluarga bangsawan etnik Han. Dengan terlaksananya dasar-dasar tersebut, kekuatan kerajaan Wei Utara telah meningkat dengan pesat. Perbauran pelbagai etnik wujud di bahagian utara China.
Baginda juga amat menyedari tentang betapa etnik Xianbeiketinggalan dari aspek budaya. Oleh itu, baginda membuka banyak sekolah untuk menyebarkan pengetahuan dalam kalangan mereka. Baginda juga berusaha mengumpulkan pelbagai jenis buku klasik, hingga budaya di bahagian utara China menjadi bertambah makmur. Pada masa yang sama, baginda juga menggalakkan perkembangan agama Buddha. Groto Longmen, salah satu daripada tiga buah groto agama Buddha yang paling terkenal di China pada masa ini mula dibina ketika baginda memindahkan ibu negara ke Luoyang.