Opera Nuo yang digelar "fosil hidup" dalam opera tradisional China ini, mempunyai sejarah yang agak lama. Ia berasal daripada upacara pemujaan manusia terhadap Totem dalam masyarakat primitif. Melalui evolusi, sampai zaman Dinasti Shang, iaitu antara tahun 1600 hingga tahun 1046 Sebelum Masihi, ia telah berkembang menjadi sejenis upacara pemujaan yang khusus untuk mengusir iblis dan wabak penyakit. Upacara pemujaan itulah yang dikenali sebagai tarian Nuo. Tarian ini dikatakan telah memberikan pengaruh yang besar kepada pelbagai jenis opera tempatan di China.
Ciri utama persembahan opera Nuo ini ialah, setiap pelakonnya memakai topeng yang diperbuat daripada kayu. Mereka menyamar sebagai syaitan atau dewa-dewi, dan menyanyi sambil menari untuk menampilkan jasa baik dewa-dewi yang berkenaan.