Cari:
Xunzi, Ahli Fikir yang Cemerlang di China pada Zaman Purba (2)
2010-08-04 14:33:47 CRI Cetak
Dari tahun 286 hingga 285 sebelum Masehi, Raja Min di negeri Qi telah berjaya menawan negeri Song, kemudian baginda mewar-warkan kejayaannya dalam bidang ketenteraan dengan meremehkan usaha dalam bidang pendidikan rohani. Melihat kecenderungan baginda yang sedemikian itu, Xunzi mengemukakan pendapatnya kepada baginda supaya baginda memberikan perhatian kepada bidang pendidikan rohani. Tetapi, baginda tidak menerima nasihat Xunzi itu, sehingga Xunzi terpaksa meninggalkan negeri Qi, lalu menuju ke negeri Chu.

Pada tahun 284 sebelum Masehi, Jeneral Le Yi dari negeri Yan telah membawa tentera sekutu yang terdiri daripada tentera negeri Yan, Zhao, Han, Wei dan negeri Qin untuk menyerang negeri Qi, dan berjaya menakluk ibu kota negeri itu, Linzi. Raja Min di negeri Qi yang terpaksa melarikan diri dari istananya itu telah dibunuh oleh Zhuo Chi. Dengan demikian, pemerintahan negeri Qi hampir musnah.

Pada tahun 279 sebelum Masehi, Gabenor Tian Dan yang menjaga kawasan Jimo, negeri Qi, mengambil kesempatan melancarkan serangan balas terhadap tentera Yan ketika Raja Hui di negeri Yan menggantikan panglimanya Jeneral Le Yi dengan Qi Jie,, dan berjaya menakluk semula bandar-bandar yang telah jatuh ke tangan musuhnya itu.

Selepas itu, Tian Dan berjaya menjemput Raja Xiang pulang ke tanah airnya, iaitu suatu tempat yang dikenali sebagai Lu, lalu mengiringi baginda masuk ke ibu kota Linzi. Setelah baginda memulihkan pemerintahan di negeri Qi, baginda segera menggunakan pengalaman dari kegagalan mendiang Raja Min yang meremehkan pentadbiran, dan tidak mengutamakan kepentingan rakyat. Baginda membuat keputusan untuk menghidupkan semula fungsi Akademi Jixiaxue yang menghimpunkan sarjana dan tokoh yang bijak, yang ketika itu, sudah berpencaran di pelbagai tempat. Kekosongan senarai "Liedafu", iaitu gelaran tinggi yang diberikan kepada cendekiawan yang diundang untuk bertugas di Akademi Jixiajue, segera diisi semula.

Pada masa itu, Xunzi berada di negeri Chu di bahagian selatan China. Beliau menyaksikan Jeneral Bai Qi dari negeri Qin, bahagian barat China melancarkan serangan yang dahsyat terhadap negeri Chu, dan berjaya menakluk ibu kotanya, Yingdu, lalu membakar seluruh bandar Yiling. Rakyat negeri Chu terpaksa meninggalkan tanah air mereka yang sudah huru hara itu, dan kerajaan Chu pun terpaksa berpindah ke Chen yang dipilih sebagai ibu kota sementara. Xunzi pula melarikan diri dari negeri yang penuh pergolakan politik itu dan bertolak menuju ke negeri Qi.

Setibanya di negeri Qi, Xunzi diundang untuk menyertai kerja membangunkan semula fungsi Akademi Jixiaxue. Oleh sebab kebanyakan sarjana yang kanan seperti Tian Jiao, telah meninggal dunia, manakala sebahagian yang lain, seperti Shen Dao dan Jie Zi tidak berada di negeri Qi, maka Xunzi yang berpengetahuan luas dan beretika tinggi itu lalu dipilih menjadi pengetua bagi bidang yang paling berprestij. Beliau dikatakan menyandang jawatan "Ji Jiu" sebanyak tiga kali dan diberi penghormatan sebagai guru besar bagi semua anggota Akademi Jixiaxue.

Apabila Raja Xiang di negeri Qi mangkat pada tahun 264 sebelum Masehi, Xunzi berasa kurang selesa lagi tinggal di sana kerana cita-citanya dalam bidang politik sukar dicapai tanpa sokongan daripada Raja Xiang.

Pada masa itu, negeri Qin telah mengirim sepucuk surat kepada Xunzi untuk mengundang beliau berkhidmat di sana. Dengan demikian, Xunzi pun meninggalkan negeri Qi, lalu menuju ke negeri Qin. Setelah membuat tinjauan dan kajian terhadap pentadbiran politik, pemerintahan tentera, adat resam dan keadaan geologi di negeri Qin, Xunzi pun mengemukakan cadangan kepada Raja Zhao di negeri itu supaya mengambil kira tokoh yang mahir menguasai ajaran Konfusius untuk mengisi jawatan.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China