Cari:
Xunzi, Ahli Fikir yang Cemerlang di China pada Zaman Purba (4)
2010-08-18 15:00:47 CRI Cetak

Sesudah kembali ke kampung halamannya di negeri Zhao, Xunzi diberi layanan yang jauh lebih baik daripada yang dinikmatinya pada masa dahulu. Beliau dilantik sebagai "Shang Qing" atau "Shang Ke", iaitu pegawai eksekutif peringkat tinggi.

Setelah mendapat berita tentang perkembangan kerjaya Xunzi dan ketokohannya yang meningkat di negeri Zhao, rakyat di negeri Chu berasa amat kesal, lalu mereka menghantar berpucuk-pucuk surat kepada Menteri Kanan di negeri itu, iaitu Chun Shen untuk meminta beliau mengundang Xunzi kembali ke negeri Chu. Dengan demikian, Menteri Kanan itupun menghantar utusannya ke negeri Zhao untuk mengundang Xunzi kembali berkhidmat di negeri Chu.

Bagaimanapun, Xunzi bukan sahaja menolak undangan tersebut, malah melemparkan sekian banyak kritikan terhadap pentadbiran yang dijalankan di negeri Chu. Setelah mendengar pandangan Xunzi yang sememangnya layak diberi penghargaan yang tinggi itu, Menteri Kanan Chun Shen berasa amat kesal terhadap tindakan yang diambilnya dahulu, iaitu tidak membela Xunzi apabila beliau terperangkap dalam permainan politik yang berunsur fitnah. Kemudian, Chun Shen, menyatakan kekesalannya dan niatnya yang lebih ikhlas untuk mengundang Xunzi agar kembali ke negeri Chu untuk berkhidmat dengan kerajaannya.

Xunzi, barangkali terharu dengan keikhlasan yang ditunjukkan oleh Chun Shen, membuat keputusan untuk kembali ke negeri Chu dan di sana beliau terus dilantik semula ke jawatan asalnya, iaitu Pengetua Kaunti Lanling.

Pada tahun 238 sebelum Masehi, Raja Kaolie di negeri Chu mangkat. Selepas itu, Menteri Kanan Chun Shen pula dibunuh oleh pejuang berani mati yang didalangi oleh Li Guo. Dengan demikian, tanpa sokongan politik daripada Chun Shen, Xunzi terpaksa meletakkan jawatannya. Namun, beliau terus tinggal di Kaunti Lanling sehingga meninggal dunia pada usia kira-kira 100 tahun.

Xunzi telah menghasilkan karya sebanyak puluhan ribu perkataan ketika menghabiskan usia tuanya di Kaunti Lanling.

 

Antara kejayaan yang dicapai Xunzi, beliau diiktiraf sebagai ahli fikir, sasterawan, dan ahli politik yang tersohor serta salah seorang tokoh yang penting dalam menyebarkan ajaran Konfusius. Xunzi telah memberikan sumbangan yang agak besar dalam mengembangkan ajaran Konfusius, di samping menyusun semula beberapa banyak buku dan kitab yang berkait dengan ajaran itu. Kerana mengusulkan teori tentang "watak manusia adalah jahat pada asalnya", beliau sering dibandingkan dengan Mengzi, iaitu seorang lagi penyelidik ajaran Konfusius yang menganjurkan teori tentang "watak manusia adalah baik pada asalnya".

Berkait dengan kejayaannya dalam aspek mengajar dan memdidik, Xunzi telah menerima Han Fei dan Li Si sehingga mereka berkembang menjadi ahli fikir dan ahli politik yang cemerlang pada akhir zaman Negeri-negeri Berperang. Namun, disebabkan kedua-dua mereka ini, iaitu Han Fei dan Li Si, dilihat sebagai pengasas ajaran "Fa" yang menganjurkan pemerintahan yang berasaskan pelaksanaan undang-undang yang ketat, maka ramai sarjana dari pelbagai zaman meragui sama ada Xunzi tergolong dalam kumpulan sarjana aliran Konfusius atau tidak. Malah, pada pelbagai zaman selepasnya, terdapat sarjana atau sasterawan dalam bilangan yang tidak sedikit yang melemparkan kritikan yang depas terhadap Xunzi dan ajarannya. Ini disebabkan pelajar-pelajarnya telah menyebarkan ajaran yang berbeza daripada ajaran Konfusius.

Akibatnya, tidak ramai sahaja sarjana yang mahu menulis penjelasan tentang kandungan buku "Xunzi". Yang Liang, yang hidup pada zaman Dinasti Tang adalah antara yang pernah membuat penjelasan yang agak banyak tentang buku itu. Keadaan itu mula berubah pada zaman Dinasti Qing apabila kegiatan menyelidik bahan rujukan menjadi agak popular ketika itu. Dengan demikian, mulai masa itu, jumlah sarjana yang berminat untuk menyelidik ajaran dan aliran pemikiran Xunzi menjadi lebih ramai daripada zaman sebelumnya.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China