Cari:
Xunzi, Ahli Fikir yang Cemerlang di China pada Zaman Purba (6)
2010-09-01 10:45:16 CRI Cetak
Dalam "Artikel Pujuk Belajar" yang terkenal itu, Xunzi secara menyeluruh menghuraikan pandangannya tentang isu pembelajaran. Beliau menegaskan betapa pentingnya bagi manusia untuk belajar, dan menganggap mereka yang berpengetahuan luas sahajalah yang boleh mencari bantuan dari luar dan mengelakkan diri daripada membuat salah.

Pada masa yang sama, Xunzi menunjukkan bahawa pembelajaran mesti digabungkan dengan latihan amali dan pengetahuan yang dipelajari itu pula patut digunakan dalam amalan selanjutnya. Seseorang itu patut mempunyai tekad untuk bersungguh-sungguh dan menumpukan seluruh perhatiannya sepanjang proses belajar, malah perlu mengekalkan semangat yang kental apabila menghadapi apa jua kesulitan.

Xunzi amat mementingkan peranan guru dalam mendidik, dan menganggap golongan guru mesti diutamakan dan dihormati dalam usaha membangunkan sesebuah negara ke arah kemakmuran dan kemajuan. Sementara itu, beliau juga meletakkan harapan yang tinggi kepada golongan guru dan berpendapat jika golongan itu tidak dapat menjadi contoh kepada pelajar, maka para pelajar pasti gagal melaksanakan apa yang dipelajari daripada guru mereka dalam hidup nanti.

Artikel-artikel dalam buku "Xunzi" mempunyai tajuk yang menarik, struktur yang rapi dan logiknya sangat jelas dalam menghuraikan sesebuah teori itu. Kata-kata yang digunakan dalam buku itu diberi pelbagai warna. Penulisnya mahir menggunakan analogi, dan mengatur ayat-ayat dengan rapi. Xunzi yang sudah membentuk gaya tersendiri dalam menghasilkan karya, berjaya memberikan pengaruh yang tertentu kepada penulis-penulis pada zaman selepasnya ketika mereka menghasilkan artikel untuk menghuraikan sesebuah tanggapan.

Xunzi telah menghasilkan lima puisi pendek yang dapat dibaca dalam karya "Xunzi", sekali gus mencipta sejenis sastera yang baru, iaitu "Fu". Ketika menghasilkan karya "Cheng Xiang Pian", beliau menggunakan balada yang popular pada zaman itu yang terdiri daripada kata-kata yang mudah difahami. Balada tersebut disusun dalam bentuk "rap". Melalui "rap"nya itu, Xunzi menyatakan pemikirannya tentang politik dan penyelidikannya dalam bidang kesusasteraan yang turut membawa pengaruh yang tertentu kepada generasi yang berikutnya.

Xunzi, atau dikenali juga dengan nama Xun Kuang ini, tidak dapat disangkal lagi ialah seorang ahli fikir, pujangga dan ahli pendidikan yang cemerlang di China pada zaman purba.

Karya-karya beliau yang agak popular pada zaman Dinasti Han berjumlah lebih daripada 300 buah, dan disusun dengan rapi menjadi 32 artikel setelah disemak oleh Liu Xiang. Liu Xiang pandai membuang kandungan yang dilihatnya bertindah-tindih.

Secara keseluruhan, jika ditinjau kejayaan Xunzi dalam bidang kesusasteraan, kita dapati ajaran yang dianjurkannya adalah berdasarkan ajaran Konfusius, tetapi beliau telah menggabungkannya dengan keistimewaan beberapa ajaran lain seperti aliran ajaran Tao, Fa, Ming dan Mo. Xunzi meletakkan dirinya sebagai pewaris ajaran Konfusius dan Zhong Gong dan giat melindungi tradisi yang dianjurkan oleh Konfusius. Dengan demikian, beliau memandang rendah, malah mencela beberapa orang tokoh yang juga menganggap diri mereka sebagai sarjana dalam aliran ajaran Konfusius seperti Zhang Shi, Zi Xia Shi dan Zi You Shi, dan menyifatkan mereka sebagai "pelajar ajaran Konfusius yang remeh". Beliau, malah melemparkan kritikan yang pedas terhadap kumpulan sarjana yang diketuai oleh Zisi dan Mengzi.

Bagaimanapun, ajaran yang dianjurkan oleh Xunzi, pada hakikatnya, kelihatan mempunyai kecenderungan untuk berbeza sedikit daripada ajaran Konfusius.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China