Pada tahun 755 M, dua orang Gabenor dalam Dinasti Tang, iaitu An Lushan dan Shi Siming telah memberontak dengan alasan untuk membunuh perdana menteri yang khianat, Yang Guozhong demi Maharaja Xuanzong. Kumpulan pemberontak ini telah berjaya menduduki bandar Luoyang dan segera akan sampai ke Changan, ibu negara Dinasti Tang. Maharaja Xuanzong terpaksa melarikan diri ke Sichuan, dan Puteri Mahkota, Li Heng telah naik takhta, dengan gelaran Maharaja Suzong. Baginda lalu mengarahkan Janeral Guo Ziyi untuk merampas kembali Luoyang dan Changan, serta menghapuskan pemberontak itu. Dengan memimpin 150 ribu askar Dinasti Tang serta 5 ribu askar berkuda yang dipinjam dari puak Huihe (nenek moyang etnik Uygur kini), Guo Ziyi telah menewaskan kumpulan pemberontak di bawah pimpinan bersama An Lushan dan Shi Siming itu dan berjaya merampas kembali ibu negara Changan yang telah diduduki oleh mereka selama setahun empat bulan itu. Selepas itu, Guo Ziyi terus merampas kembali bandar Luoyang. Dengan kemenangannya yang begitu hebat itu, Guo Ziyi dianggap oleh baginda sebagai orang yang telah menghidupkan semula Dinasti Tang.
Pada bulan sepuluh tahun 758 M, angkara gangguan yang dilakukan oleh Yu Chaoen, sida-sida yang diberi tugas mengawasi tentera, pasukan tentera Guo Ziyi telah tewas di tangan kumpulan pemberontak. Dengan fitnah dari sida-sida tesebut, Guo Ziyi terpaksa memikul segala tanggungjawab itu seorang sendiri, lalu dipecat oleh baginda.
Setelah mendengar berita Guo Ziyi dipecat, kumpulan pemberontak pun segera menawan semula bandar Luoyang. Melihat keadaan itu, beberapa orang gabenor dari tempat lain juga turut merancang untuk memberontak. Baginda terpaksa melantik Guo Ziyi sekali lagi untuk memimpin tentera untuk menghapuskan pemberontak. Sebelum Maharaja Suzong mangkat, baginda telah menyerahkan semua kuasa pemerintahan dan ketenteraan di kawasan Hexi kepada Guo Ziyi. Guo Ziyi telah berjaya membunuh lebih daripada 40 orang pemimpin di situ yang merancang untuk memberontak, dan memulihkan situasi di kawasan tersebut. Maharaja yang baru, iaitu Daizong telah mengarahkan Guo Ziyi supaya terus bertindak menghapuskan pemberontak. Namun, Guo Ziyi merasakan kekuatan tentera Dinasti Tang tidak cukup untuk menghapuskan pemberontak itu, lalu beliau meminjam 100 ribu orang lagi askar puak Huihe dan merampas kembali bandar Luoyang. Hinggalah ke tahun 763 M, pemberontakan yang berlaku selama 8 tahun itu, akhirnya berjaya ditumpaskan oleh Guo Ziyi.
Selepas itu, Guo Ziyi beberapa kali lagi membantu menyelamatkan pentadbiran Dinasti Tang daripada pemberontakan dan pencerobohan dari pihak luar. Maharaja Dezong menghormatinya seperti ayahandanya sendiri. Pada tahun 781 M, Guo Ziyi telah meninggal dunia pada usia 84 tahun. Baginda memerintahkan supaya beliau dikebumikan di sebelah makam Maharaja Suzong dan mengangkat kedudukan makamnya daripada yang ditetapkan mengikut peraturan untuk menghargai sumbangannya yang begitu besar kepada Dinasti Tang.