Dongba
Dongba, yang juga dikenali sebagai "Bike" ini, merupakan sejenis alat muzik tiupan yang sangat popular dalam masyarakat etnik Jingpo yang tinggal di provinsi Yunnan, di bahagian barat daya China. Panjangnya kira-kira 52 hingga 65 sentimeter. Pada bahagian badannya ditebuk enam lubang untuk mengeluarkan bunyi. Pada bahagian atasnya disisipkan jerami untuk dijadikan mulut, tempat meniup. Manakala pada bahagian bawahnya pula dipasang sebuah trompet untuk membesarkan dan memerdukan bunyinya.
Bunyi yang dihasilkan oleh alat muzik ini lantang dan jelas, amat merdu didengar. Pada asalnya, alat muzik ini dimainkan ketika padi sedang berbuah, untuk menghalau burung dan binatang yang datang makan padi itu. Sekarang, ia sering dimainkan untuk mengiringi nyanyian dan tarian ketika perayaan dan aktiviti hiburan diadakan.