Wei Zhongxian ialah seorang penyangak, yang kerap kali terpaksa menyembunyikan diri daripada dikejar pemiutang. Akhirnya, dia memilih menjadi sida-sida untuk menyembunyikan diri dalam istana.
Pada mulanya, dia hanya seorang kuli sahaja. Tapi, dengan bakat untuk mengampu orang yang ada padanya, dia cepat menjalinkan hubungan baik dengan ketua sida-sida dan mendapat peluang untuk mendekati Zhu Youxiao, cucu Maharaja. Dengan peluang itu, dia menggunakan sifat kanak-kanak yang suka bermain dan mengunakan pelbagai cara untuk menggembirakan Zhu Youxiao.
Pada tahun 1620, ninda dan ayahanda Zhu Youxiao telah mangkat berturut-turut dalam tempoh dua bulan sahaja. Anak yang hanya baru berumur 16 tahun itu telah naik takhta menjadi Maharaja yang baru. Wei Zhongxian pula telah dilantik menjadi sida-sida yang bertugas menyampaikan edik Maharaja. Pada tahun 1623, beliau juga menguasa badan perisikan. Dengan itu, kedudukannya hanya di bawah Maharaja sahaja, dan kerajaan pusat telah dikuasai oleh pengikut-pengikutnya, hingga banyak pegawai kanan yang menganggapnya "bapa", malah "datuk" mereka. Tindakan kumpulan Wei Zhongxian telah memarahkan sebahagian pegawai yang masih jujur dan setia. Lebih 70 orang pegawai kanan menyerahkan dakwaan tenteang perilaku Wei Zhongxian kepada Maharaja. Bagaimanapun, dakwaan itu tidak sampai ke tangan oleh Maharaja malah telah disampaikan kepada Wei Zhongxian. Dia terus menangkap dan membunuh 13 orang daripada pegawai kanan yang terlibat dalam kes tersebut. Dengan itu, semakin ramai pegawai yang tundak kepada kuasa Wei Zhongxian yang kejam itu. Banyak topekong dibina di seluruh negara untuk menunjukkan "penghormatan" kepadanya, dan semua orang yang melalui topekong-topekong tersebut perlu berlutut selama 5 kali.
Keadaan ini berterusan hinggalah ke tahun 1627, iaitu apabila adinda Maharaja Zhu Youjian naik takhta. Baginda sangat membenci sida-sida yang telah mempengarushi kakandanya, manakala para pegawai pula terus menyerahkan pelbagai dakwaan terhadap Wei Zhongxian. Baginda menyifatkan kumpulan Wei Zhongxian sebagai kumpulan pemberontak dan memerintahkan supaya Wei Zhoungxian ditangkap. Wei Zhongxian terpaksa membunuh diri.