Cari:
Tao Yuanming, Penyajak Petani yang Cemerlang di China pada Zaman Purba (10)
2010-12-01 22:30:35 CRI Cetak

Kategori ketiga, puisi pertanian dan perkebunan. Tao Yuanming mencapai kedudukan yang paling cemerlang dalam menghasilkan karya yang berkait dengan pertanian dan perkebunan. Puisi pertanian dan perkebunannya juga berjumlah paling banyak dalam semua karyanya.

Melalui puisi tersebut, beliau menyatakan sikapnya yang memandang rendah terhadap apa yang disebut "nama" dan "keuntungan" yang dikejar umum, menunjukkan azamnya untuk mengekalkan etika yang tinggi dengan mengelakkan diri daripada dipengarhui oleh "gejala kotor" dalam masyarakat, dan tidak mahu hidup bersama dengan golongan elite yang dianggapnya "kotor", malah berazam untuk menyisihkan diri daripada golongan itu.

Selain itu, dalam karya pertanian dan perkebunannya juga Tao Yuanming menunjukkan minatnya terhadap kehidupan di desa yang sederhana; proses beliau belajar bertani; dan rasa cintanya terhadap kaum tani. Impiannya yang besar untuk mewujudkan satu dunia yang sempurna dapat dirasai dalam karyanya ini.

Sebelum ini, sejarah sastera China tidak pernah bertemu dengan seorang sasterawan yang berasal dari golongan pemerintah yang menunjukkan sikap dan pemikiran yang begitu mesra kepada rakyat itu. Dengan latarbelakang masyarakat feudal yang amat ketat dengan sistem kasta, pemikiran seumpama itu pasti dipandang amat berharga.

Sebahagian karya Yuanming yang berkait dengan pertanian dan perkebunan juga mencerminkan hidupnya yang susah pada akhir usianya. Ini, secara tidak langsung, membantu kita memahami kehidupan yang susah yang dijalani oleh kaum tani ketika itu.

"Tao Hua Yuan Shi Bing Ji" dihasilkan oleh Tao Yuanming pada awal zaman kerajaan Song dalam Dinasti Selatan. Karya ini memberikan gambaran tentang satu masyarakat yang sempurna yang bersifat "Utopia". Melalui karya ini, Yuanming menafikan sistem masyarakat yang wujud ketika itu, dan menyatakan kecintaannya terhadap satu dunia yang sempurna.

Karya ini melambangkan pemikiran Tao Yuanming yang sudah naik ke satu tahap yang baru . Beliau diiktiraf sebagai pengasas dalam sejarah menghasilkan puisi pertanian dan perkebunan, dan diakui umum amat mahir menggunakan perkataan yang mudah dalam mencipta suasana yang luas dan menyatakan pemikiran yang tinggi.

Karya ciptaan Yuanming dilihat seperti membuka lembaran baru dalam sejarah sastera China, lalu secara langsung mempengaruhi penyajak-penyajak yang juga berminat menghasilkan karya bertema pertanian dan perkebunan pada zaman Dinasti Tang selepasnya.

"Gui Qu Lai Xi Ci", salah sebuah karya utama Yuanming, dilihat sebagai sebuah "pengumuman" yang tegas tentang keputusan penulisnya bagi menjauhkan diri daripada arena politik dan kembali ke desa. Berdasarkan pandangannya yang tajam, Yuanming mencari-cari erti yang benar dalam menjalani kehidupan yang sederhana, menggunakan kata-kata yang singkat bagi menghidupkan pemandangan alam, menunjukkan gambaran yang indah tentang hidup yang santai di desa dan menyatakan rasa cinta yang romantik terhadap cakerawala.

Selain itu, Yuanming juga menyatakan bencinya terhadap politik yang dianggapnya "kotor" dan sikapnya yang dilihat sebagai "sombong" bagi menjauhkan diri daripada apa yang disebut "adat masyarakat" yang bersifat "mengampu".

Apabila membaca puisi "Gui Qu Lai Xi Ci", kita biasanya hanya dapat merasakan kegembiraan yang dinikmati oleh Yuanming ketika beliau bertapa dan hidup sebagai petani dan pekebun, tetapi jarang dapat merasakan kesedihan dan kekecewaan yang dinyatakannya secara berselindung di balik kata-katanya.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China