Melalui perkembangan selama beberapa kurun, alat muzik Pipa sudah mengalami banyak perubahan, baik dari segi bentuk dan saiznya, mahupun dari segi postur tubuh pemainnya dan teknik memainkannya. Pada zaman Dinasti Tang (tahun 618-907), Pipa mula dimainkan dengan "dipegang secara tegak". Bagaimanapun, bagi Pipa Nanyin, hingga ke hari ini, cara memainkannya masih kekal cara tradisional, iaitu "memegangnya secara baring". Oleh itu, alat muzik ini juga digelar "Hengbao Pipa" (Pipa yang dipegang secara baring).
Nanyin Pipa ini merupakan alat muzik jenis Pipa yang sangat popular di bahagian selatan provinsi Fujian serta kawasan Taiwan, China. Alat muzik ini mendapat nama yang sedemikian kerana ia merupakan alat muzik utama untuk mengiringi muzik Nanyin dari provinsi Fujian, yang digelar "fosil hidup" dalam muzik tradisional China.
Bentuk Pipa Nanyin ini hampir sama dengan Pipa biasa. Panjangnya antara 93 hingga 104 sentimeter. Bahagian kepalanya berbentuk ekor burung phoenix, manakala kotak resonansnya berbentuk buah pear. Cuma bahagian "perut"nya sahaja yang lebih besar daripada Pipa. Persembahan alat muzik ini menampilkan corak yang sederhana, tetapi agak unik. Teknik memainkannya pula mencatat 40 hingga 50 jenis.