Cari:
Tao Yuanming, Penyajak Petani yang Cemerlang di China pada Zaman Purba (12)
2010-12-15 11:51:39 CRI Cetak

Kemudian tibalah zaman Dinasti Liang. Putera Raja Zhaoming, iaitu Xiao Tong, memberikan penghargaan yang amat tinggi kepada karya Tao Yuanming, dan baginda sendiri telah menyunting dan menyediakan Kata Pendahuluan untuk kumpulan karya Yuanming. "Kumpulan Karya Tao Yuanming" yang disusun itu merupakan kumpulan karya yang pertama bagi seorang sasterawan dalam sejarah China. Ini membawa makna yang cukup besar.

Xiao Tong dalam Kata Pendahuluan yang dihasilkannya untuk "Kumpulan Karya Tao Yuanming" itu, memberikan pujian yang cukup tinggi kepada sasterawan ini. Katanya, "Karangannya cemerlang, pilihan katanya begitu indah, susunan ayatnya menarik, dan iramanya cantik, sehingga mudah membacanya."

Selepas memasuki zaman Dinasti Selatan, sumbangan mendiang Tao Yuanming dalam bidang kesusasteraan masih belum diberikan pengiktirafan yang sepadan dengan kecemerlangannya, namun karyanya sudah tersebar luas dan membawa pengaruh yang semakin besar dalam masyarakat China.

Walau bagaimanapun, selepas memasuki zaman Dinasti Sui dan Tang, semakin ramai penyajak yang menunjukkan minat terhadap karya penyajak petani ini dan memberikan penghargaan yang semakin tinggi kepadanya.

Wang Ji, penyajak yang hidup pada permulaan zaman Dinasti Tang, telah menjalani hidup yang hampir serupa dengan yang dijalani oleh Tao Yuanming. Beliau telah meletakkan jawatannya dalam kerajaan sebanyak beberapa kali untuk bertapa di desa, dan selalu menikmati masa lapang dengan bermain "Qin" (sejenis alat muzik tradisonal China) dan minum arak.

Terdapat satu puisi yang dihasilkan oleh Wang Ji yang berbunyi, "Yuan Ji (seorang sasterawan yang tersohor) yang sering minum arak, hanya mempunyai masa sedar yang sedikit sahaja, sedangkan Tao Yuanming mempunyai banyak masa selain minum arak sehingga mabuk. Seratus tahun rasanya tidak begitu panjang, jika saya dapat selalu minum arak sambil menyanyi."

Meng Haoran, penyajak petani yang hidup pada zaman Dinasti Tang yang mahir menggambarkan pemandangan alam, memberikan penghormatan yang tinggi kepada Tao Yuanming. Puisi yang dihasilkannya yang bertajuk "Zhong Xia Gui Han Nan Ji Jing Yi Jiu You" berbunyi, "Waktu membaca 'Catatan Sarjana yang Bijak', aku memberikan penilaian yang tertinggi kepada Tuan Yuanming. Mataku begitu penat ketika menyaksikan pemandangan yang menarik di desa. Tanpa kusedari, aku juga berminat menjadi petani."

Li Bai yang dikenali sebagai penyajak yang paling cemerlang di China pada zaman purba, amat menghormati Tao Yuanming yang dianggapnya beretika tinggi. Beliau memberikan penghargaan yang luar biasa kepada karya Yuanming. Sebuah puisinya yang bertajuk "Xi Zeng Zheng Li Yang" yang dihasilkan oleh Li Bai berbunyi, "Tuan Yuanming minum hingga mabuk setiap hari, dan tidak menyedari ketibaan musim bunga yang disaksikan oleh pokok williow yang baru berdaun hijau muda. Aku pun mahu hidup di desa untuk bertani sambil menikmati angin sepoi-sepoi bahasa. Mungkinkah aku dapat mengunjungi Kaunti Lili (kampung halaman Yuanming) untuk menyaksikan tempat tinggal tuan yang kurasa begitu mesra.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China