Li Bai terkenal dengan kata-kata, "mana boleh aku mengampu golongan elite benar-benar dengan senyuman yang palsu dan membongkok?" Sikapnya hampir sama dengan sikapTao Yuanming yang terkenal dengan ceritanya "mana boleh aku membongkok kepada seorang budak kampung (utusan dari pegawai atasannya) dengan tujuan semata-mata untuk mengekalkan jawatan yang bergaji sebanyak lima 'dou' beras?"
Du Fu, penyajak yang cemerlang pada zaman Dinasti Tang pula terpaksa menghadapi hidup yang susah selepas berlakunya Rusuhan Anshi. Ketika hidup dalam belenggu kemiskinan itu, beliau memberikan semangat kepada dirinya sendiri dengan membaca karya Tao Yuanming dan menganggap penyajak itu sebagai "kawan karib"nya. Du Fu dalam puisinya yang bertajuk "Feng Ji He Nan Wei Yin Zhang Ren" menyatakan, "Arak memang merupakan barang yang menyenangkan hati, sedangkan menghasilkan atau membaca puisi merupakan pilihan yang terbaik bagi menyuarakan rasa gembira. Maksudku ini boleh difahami oleh Tuan Yuanming. Sayangnya aku tidak dapat bertemu dengan beliau kerana kita hidup pada zaman yang berlainan."
Bai Juyi, penyajak yang hidup pada pertengahan zaman Dinasti Tang, amat menghormati Tao Yuanming yang beretika tinggi itu. Pada tahun 815 Masehi, beliau dipecat daripada jawatannya dan terpaksa berpindah ke bandar Jiangzhou untuk memegang jawatan yang lebih rendah, iaitu "Si Ma". Bandar Jiangzhou berhampiran dengan Xunyang, kampung halaman Tao Yuanming. Maka, Bai Juyi telah mengunjungi rumah tinggalan Yuanming, lalu menghasilkan sebuah puisi yang bertajuk "Fang Tao Gong Jiu Zai".
Puisi itu berbunyi, "Aku datang ke perkampungan purba di kaunti Caisang, dan kawasan pergunungan yang bersejarah lama di kaunti Lili. Kudapati pokok bunga kekwa masih hidup di tepi pagar dan asap masih berkepul-kepul dari bumbung rumah. Anak-cucu Tao Yuanming kurang dikenali, dan keluarganya masih menghuni di situ. Aku rasa gembira dapat bertemu dengan keluarga yang namanya 'Tao' ini." Seterusnya, Bai Juyi menyatakan pujian yang tinggi itu terhadap Tao Yuanming yang dilihatnya beretika tinggi dengan menggunakan dua ayat, "Batu jed yang jernih tidak dapat dikotorkan oleh debu, burung pheonix yang cantik juga tidak makan makanan yang busuk."
Selain itu, Bai Juyi juga menghasilkan sebuah puisi lagi yang bertajuk "16 Puisi Xiao Tao Qian Ti" yang berbunyi, "Sudah lama Tuan Yuanming meninggal dunia, beliau meninggalkan begitu banyak karya. Namun, ilham yang kudapat daripada setiap karya itu hanyalah tuan itu mengajak aku minum arak. Tentang kandungannya yang lain, aku sudah tidak begitu ingat. Aku memang menghormati tuan Yuanming yang dikatakan mempunyai maruah yang tinggi. Sukar bagiku untuk mencapai kejayaan yang setanding dengan Tuan Yuanming dalam hal yang lain. Hanya minum hingga menjadi mabuk sahaja, boleh aku mengikut contohnya."
Kebanyakan cendekiawan di China pada zaman purba mempunyai kegemaran untuk minum arak memang sudah dimaklumi, dan ini memang tidak terlepas dari pengaruh Tao Yuanming. Hal ini juga terbukti daripada dalam dua ayat akhir dalam karya Bai Juyi itu.
Seterusnya, apabila masuk ke zaman Dinasti Song Utara, nama Tao Yuanming dalam sejarah kesusasteraan China semakin kukuh dan ini dipastikan pada zaman selanjutnya. Ouyang Xiu, juga sasterawan yang tersohor di China pada zaman purba, memberikan pujian yang tinggi kepada "Gui Qu Lai Xi Ci", sebuah karya Tao Yuanming. Kata beliau, "Tiada karangan yang cemerlang pada Dinasti Jin, kecuali 'Gui Qu Lai Xi Ci" yang dihasilkan oleh Tao Yuanming. Tambah Ouyang Xiu, "Saya suka pada Tuan Tao Yuanming yang suka minum arak dan suka hidup santai."