Jiemeixiao
Jiemeixiao, atau disebut "sister endblown flute" dalam bahasa Inggeris ini, ialah sejenis alat muzik tiupan yang sangat popular dalam masyarakat etnik Buyi dan etnik Miao yang tinggal di provinsi Guizhou di bahagian barat daya China. Dalam bahasa Buyi, ia disebut "Lilewailian", manakala dalam bahasa Miao pula, ia disebut "Libu".
Alat muzik ini mendapat nama yang sedemikian kerana ia biasanya dimainkan secara berpasangan oleh dua orang pemain, atau dimainkan dua batang serentak (bentuk dan ukurannya sama) yang diikat bersama.
Alat muzik yang diperbuat daripada buluh ini, panjangnya lebih daripada 20 sentimeter. Jiemeixiao dalam masyarakat etnik Buyi mempunyai lapan lubang bunyi (tujuh di depan, satu di belakang). Jiemeixiao dalam masyarakat etnik Miao pula mempunyai tujuh lubang bunyi (enam di depan, satu di belakang).
Bunyi yang dikeluarkan oleh alat muzik ini sangat merdu didengar. Nada tinggi yang dihasilkannya lantang dan terang, manakala nada rendah yang dikeluarkannya pula agak lembut dan halus. Ia sering dimainkan untuk persembahan solo, atau untuk mengiringi penyanyi dalam sesuatu persembahan.