Yan Weiwen ialah seorang penyanyi dari pasukan tentera yang cukup pandai membawakan lagu rakyat di China. Beberapa tahun yang lalu, beliau bercita-cita mahu mengeluarkan album lagu rakyat China, dan mulai tahun 2004, harapannya menjadi nyata dengan album "Lagu Cinta di Kawasan Barat" yang diterbitkannya pada tahun itu. Kemudian, beliau turut menghasilkan album "Lagu Cinta Tanah Kuning" dan "Lagu Cinta Tanah Merah", dan yang terkini, "Lagu Cinta Tanah Hitam" ini.
Sekarang saya akan menyiarkan lagu yang berjudul "Bulan Waktu Fajar Menyinsing". Lagu rakyat di kawasan timur laut China kebanyakannya amat rancak, tetapi lagu ini berirama perlahan. Lagu ini menceritakan tentang nasib dan cerita cinta empat orang wanita yang terkenal dalam catatan sejarah China melalui cerita tentang perubahan empat musim.
Tanah Hitam sebenarnya khusus merujuk pada tiga provinsi yang terletak di kawasan timur laut China, iaitu Heilongjiang, Jilin dan Liaoning. Tanah di kawasan ini subur sekali, dan ia menjadi pangkalan pengeluaran bahan makanan yang penting di China. Album "Lagu Cinta Tanah Hitam" mengandungi 12 buah lagu yang menceritakan kehidupan rakyat yang berwarna-warni di kawasan tersebut.
Seterusnya saya akan menyiarkan lagu yang berjudul "Berjumpa dengan Kekasihku". Lagu yang amat lucu ini menceritakan kisah seorang gadis yang membawa beberapa banyak hadiah ketika mahu berjumpa dengan kekasihnya. Disebabkan hujan, jalan menjadi amat licin. Dia terjatuh dan hadiah yang dibawanya semua hilang.
Seterusnya saya akan menyiarkan lagu "Dodoi" yang dinyanyikan oleh Yan Weiwen.
Siri album lagu rakyat yang dihasilkan oleh Yan Weiwen menjadi bukti ketekunan beliau untuk terus berusaha dalam bidang seni suara.
Akhir sekali, marilah kita bersama-sama menikmati lagu yang berjudul "Cincin yang Hilang". Lagu ini menceritakan tentang perasaan seorang gadis yang kehilangan cincin yang dihadiahkan oleh kekasihnya. Dia amat bimbang dan berjanji akan memberikan ganjaran yang besar kepada sesiapa yang menjumpai cincinnya itu.