Cari:
Ibu Suri Cixi, Ratu Tanpa Mahkota
2010-12-24 11:13:03 CRI Cetak

Cixi dilahirkan pada tahun 1835 dalam keluarga bangsawan. Beliau ialah permaisuri Maharaja Xianfeng dan ibu kepada Maharaja Tongzhi.

Pada tahun 1861, Ibu Suri Cixi bersama-sama Putera Gong telah mengatur pemberontakan, lalu merampas kuasa daripada lapan orang pegawai kanan yang dilantik oleh Maharaja Xianfeng untuk menolong anakanda baginda yang masih kecil itu. Ibu Suri Cixi terus melaksanakan pentadbiran dari belakang tirai yang tergantung di belakang takhta baginda. Ibu Suri Cixi ialah Ratu tanpa mahkota. Selepas itu, beliau turut menyokong dua maharaja lagi untuk menaiki takhta, iaitu Maharaja Guangxu dan Xuantong. Hingga ke tahun 1908, ketika meninggal dunia, Ibu Suri Cixi telah memegang pentadbiran kerajaan China selama 48 tahun.

Ketika tercetusnya pemberontakan oleh Kerajaan Syurga Taiping, Ibu Suri Cixi telah bertolak ansur dengan penceroboh dari luar dan menggunakan pegawai etnik Han seperti Zeng Guofan, Zuo Zongtang dan Li Hongzhang untuk menghapuskan pemberontak dan menstabilkan situasi politik negara.

Untuk memperkukuh kuasanya, Cixi telah menggunakan perselisihan antara pelbagai kaum politik dalam kerajaannya, untuk memusnahkan beberapa kumpulan politik yang agak kuat, termasuk Putera Gong yang sebelum itu telah membantu beliau. Sesiapa yang menjadi ancaman kepada pentadbirannya, Cixi pasti akan bertindak tegas menghapuskannya, meskipun anaknya sendiri. Maharaja Tongzhi ialah anak Cixi. Kerana menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap Cixi yang memegang semua kuasa, baginda telah dimarahi oleh Ibu Suri Cixi. Akhirnya, Cixi telah menghentikan bekalan ubat dan makanan untuk baginda dan ini mengakibatkan Maharaja Tongzi mangkat ketika masih muda.

Pada tahun 1860-an, gerakan mempelajari hal-hal tentang negara Barat mula popular dalam kerajaan. Gerakan ini awalnya mendapat sokongan Ibu Suri Cixi. Oleh itu, Maharaja Guangxu juga bertekad untuk mendorong perkembangan gerakan tersebut. Bagaimanapun, ketika gerakan ini sedang berkembang pesat hingga mahu mengubah sistem politik di China dan kelihatan akan mengancam pentadbiran Ibu Suri Cixi, beliau segera mengambil tindakan membunuh enam orang pemimpin kumpulan pembaharuan tersebut. Maharaja Guangxu pula ditahan di rumah hinggalah mangkat.

Di samping itu, Cixi juga kerap kali menyalahgunakan belanjawan tentera untuk membina taman dan meraikan hari jadinya, menandatangani perjanjian yang menjejaskan kepentingan negara, semata-mata untuk mendapat pengiktirafan negara-negara penceroboh terhadap kedudukan pentadbirannya di China. Pentadbiran Ibu Suri Cixi sebenarnya bukan sahaja telah mengganggu pembangunan modenisasi di China, malah telah mengundurkannya.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China