Tahun Baru China merupakan hari raya yang paling meriah bagi orang China sepanjang tahun. Dalam tempoh cuti pesta ini, aktiviti-aktiviti dalam pelbagai bentuk akan diadakan di merata-rata tempat di China, antaranya termasuk banyak adat resam yang diwaris dari zaman kuno akan ditunjukkan sempena pesta ini. Dalam rancangan hari ini, marilah kita bersama-sama menikmati adat resam khusus sempena menyambut Tahun Baru China dan berharap kita dapat berkongsi kegembiraan pada saat ini.
Sebagai hidangan pertama, silalah nikmati muzik yang diberi tajuk "Menyambut Tahun Baru China dengan Gembira".
Rancakkah muzik yang saudara dengar tadi? Orang China memang suka suasana yang begitu meriah sempena menyambut Tahun Baru China. Orang China amat mengambil berat terhadap pesta ini, kerja-kerja persiapan telah pun dimulakan seawal sebulan sebelum pesta ini tiba. Setiap keluarga akan sibuk membersihkan rumah, membeli barang-barang yang diperlukan dalam cuti pesta itu, antaranya termasuk membeli pakaian dan hadiah untuk kanak-kanak. Selain itu, menghias pintu dengan perkataan "Fu" dan kuplet, menyala mercun dan menggantung Lukisan Tahun Baru China di rumah akan turut diadakan sempena perayaan itu.
Perkataan China "Fu" yang bermakna bahagia, bertuah dan beruntung. Perkataan ini selalu ditampal secara terbalik, kerana dalam bahasa Mandarin, sebutan untuk kata "terbalik" dan kata "tiba" adalah sama. Dengan berbuat demikian, "Fu" yang ditampal terbalik ini membawa makna "bahagia tiba".
Sekarang marilah kita bersama-sama menikmati muzik yang berjudul "Bahagia Tiba". Saya harap muzik yang rancak ini juga dapat membawa "kesejahteraan dan keuntungan" kepada saudara semua.
Tahun Baru China ialah hari raya bagi saudara mara bertemu dan berkumpul. Malam Tahun Baru China sungguh istimewa, tidak kira betapa sibuk atau berada di tempat yang betapa jauh, mereka akan pulang ke rumah ibu bapa makan dan minum bersama-sama untuk menunggu ketibaan Tahun Baru China.
Sekarang saya akan menyiarkan lagu "Pertemuan Semula pada Tahun Baru China". Lirik lagunya, antara lain berbunyi, "Bertemu semula pada Tahun Baru China, setiap orang selamat. Bertemu semula pada Tahun Baru China, setiap keluarga bahagia."
Dalam pesta yang paling meriah dan gembira di China ini, mengucapkan "Selamat Tahun Baru China" kepada orang lain merupakan amalan yang amat penting. Ia juga merupakan cara saling menyampaikan salam dan harapan baik antara satu sama lain dalam masyarakat China. Pada pagi hari pertama Tahun Baru China, golongan muda perlu mengucapkan Selamat Tahun Baru China kepada orang tua terlebih dahulu dan mendoakan semoga mereka sihat dan bahagia selalu. Pada saat itu, orang tua selalu memberi angbao kepada pemuda untuk menyampaikan harapan baik kepada mereka. Jika bertemu dengan teman-teman di luar juga, mereka akan saling mengucapkan "Selamat Tahun Baru China" atau "Gong Xi Fa Cai".
Seterusnya, saya akan menghidangkan lagu yang berjudul "Selamat Tahun Baru China" yang menceritakan perasaan dan adat resam pada hari tersebut. Lagu rakyat ini amat popular di kawasan utara China.
Seterusnya, saya akan menyiarkan karya orkestra alat tradisional China yang berjudul "Gong Xi Fa Cai". Saya berharap persembahan ini akan turut menyampaikan salam kami kepada saudara sekalian.
Dalam tempoh cuti Tahun Baru China, selain tarian singa, tarian naga, tarian Yangko dan tarian tradisional akan dipersembahkan, pesta taman sebagai aktiviti menyambut hari kebesaran yang meriah ini juga akan diadakan. Sekarang marilah kita bersama-sama menikmati suasana yang meriah pesta taman melalui karya muzik yang berjudul "Pesta Taman".