Dengan demikian, Cik Zong yang begitu suka puisi "Liang Yuan Yin" terpaksa membeli tembok yang tertulis puisi itu dengan membelanjakan seribu unit emas.
Begitulah datang pepatah "Membeli tembok dengan seribu unit emas".
Menurut catatan dari banyak buku sejarah, Cik Zong disifatkan sebagai seorang gadis yang cantik lagi berpengetahuan luas, tambahan pula, seorang penganut agama Tao yang berbakti. Beliau dan Li Bai mempunyai kepercayaan dan minat yang hampir serupa, khususnya pada aspek kesusasteraan. Ini merupakan percintaan yang sebenar yang pertama yang dialami Li Bai.
Bagaimanapun, barang kali kepercayaan lebih penting daripada percintaan, menurut pandangan Cik Zong. Ini dicerminkan dari tindakannya pada tahun 761 Masehi. Beliau memutuskan untuk berpisah dengan Li Bai, lalu bertolak menuju ke Gunung Kuang untuk melanjutkan pengajiannya tentang Taoisme.
Li Bai yang terpaksa tinggal kesendirian, berasa begitu sepi, lalu memutuskan tidak berkeluarga lagi. Mungkin bagi seseorang lelaki, sekali sahaja percintaan yang sejati sudah cukup untuk sepanjang umur hidupnya.
Ketika berumah tangga dengan Li Bai, Cik Zong telah beberapa kali bertindak menyelamatkan Li Bai, khususnya apabila suaminya terperangkap dalam kes tentang perkhidmatannya dalam kerajaan Li Lin. Memang tiada apa-apa rasa kesal lagi bagi Li Bai sepanjang umur hidupnya disebabkan mendapat seorang perempuan yang begitu mengambil kira keselamatannya, dan pernah menumpukan segala cinta terhadapnya.
Seawal tahun 725 Masehi, iaitu tahun ke-13 pemerintahan Raja Kaiyuan Dinasti Tang, Li Bai memutuskan untuk meninggalkan kampung halamannya di Shu (Provinsi Sichuan sekarang, bahagian barat daya China), lalu memulakan penjelajahannya ke tempat-tempat yang beliau berminat. Li Bai memilih jalan melalui Tiga Gaung di Sungai Yangtze dengan menaiki kapal. Semua pemandangan yang dilaluinya lama-kelamaan menjadi asing belaka, kerana kampung halamannya sudah jauh ditinggalkan. Yang masih mengiringi Li Bai itu hanya air sungai Yangtze sahaja, yang mengalir deras mendorong kapal yang dinaikinya ke bandar pertama yang beliau singgah, iaitu Jiangling.
Li Bai memang tidak menjangka dapat bertemu dengan seorang tokoh ternama di bandar Jiangling. Tokoh itu bernama Sima Zhen, seorang penganut agama Tao yang amat dihormati oleh tiga raja secara turun temurun ketika itu. Sima Zhen yang tinggal di Gunung Tiantai, bukan sahaja hafal ilmu Taoisme dan ilmu ghaib yang berkaitan, tetapi juga cemerlang pada aspek kaligrafi dan puisi. Puisi yang dihasilkannya bercorak romantik seolah-olah ciptaan dewa-dewi.
Raja Xuanzong yang amat menghormati Sima Zhen pernah memanggilnya ke ruangan kediaman di istana untuk meminta tujuk ajar tentang ajaran dari Kitab Tao. Selain itu, baginda masih membina satu kuil yang disebut "Yang Tai Guan" untuk digunakan Sima Zhen dan mengatur adik perempuan ipar baginda mengikuti beliau mempelajari kitab Taoisme.