Bandar Jinling sudah kehilangan suasana sebagai hab politik kebangsaan yang bercorak imperialis, menurut pandangan Li Bai. Ketika mengunjungi bandar itu, Li Bai mendapat layanan yang ramah dari rakyat tempatan. Pada saat makan jamuan perpisahan, ada penyanyi perempuan yang cantik diatur menemani Li Bai, sedangkan kawan-kawannya seorang demi seorang mengangkat cawan untuk minum arak dengannya sambil menyuarakan kata-kata berdoa. Kesemua layanan yang disediakan dalam suasana mesra itu memang sukar dilupakan oleh Li Bai.
Selepas meninggalkan bandar Jinjing, Li Bai memilih meneruskan perjelajahannya ke bandar Yangzhou melalui sungai Yangtze. Yangzhou merupakan satu bandar antarabangsa yang makmur ketika itu. Li Bai belum pernah melihat pemandangan bandar yang begitu makmur lagi riuh rendah. Beliau turut memutuskan bersama dengan kawannya menginap di sana lebih lama sedikit sehingga tibanya musim panas. Mereka bersiar-siar di bandar itu dengan menikmati pemandangan alam yang indah sebebas-bebasnya.
Setelah tiba musim gugur, Li Bai jatuh sakit di Huannan (satu tempat yang dibawah pentadbiran Yangzhou). Beliau berasa agak gelisah kerana terpaksa menerima rawatan di tempat yang jauh dari kampung halamannya, malah menghadapi harapan yang tipis bagi menubuhkan kerjayanya. Yang boleh membantu Li Bai meringankan penderitaannya dalam merindu kampung halamannya ketika itu hanyalah surat-surat sahaja yang dikirim dari kawan-kawannya.
Setelah sembuh di Huannan, Li Bai memutuskan menjelajah ke Gusu. Raja Fucai dari Negeri Wu, dan gundik yang paling dimanjakannya, Xisi, yang diikhtiraf sebagai seorang dari empat jelitawan yang paling tersohor dalam sejarah purba China, pernah makan, minum dan nonton secara semewah-mewahnya tanpa mengira malam atau siang harinya di sana. Ketika mengenang kembali sejarah silam itu, Li Bai menghasilkan sebuah puisi yang bertajuk "Wu Qi Qu" yang berorientasikan rumusan terhadap sejarah. Puisi itu kemudiannya mendapat pujian tinggi dari He Zhizhang, seorang penyajak yang tersohor yang lebih senior daripada Li Bai ketika itu. Beliau menyifatkan karya ciptaan Li Bai tersebut "mampu mengharukan dewa-dewi."
Ini mencerminkan bahawa Li Bai ketika meneruskan penggunaan tajuk yang konvensional dalam menghasilkan sejumlah puisi untuk kegunaan Jabatan Muzik Diraja, tidak lupa menambah isi kandungan yang segar dalam karya-karya seumpama itu. Li Bai bukan sahaja berminat mengimbas kembali cerita-cerita yang romantik yang berlaku di Gusu pada zaman purba, tetapi juga berminat menikmati pemandangan yang indah di situ yang tentulah tidak lepas dari gadis-gadis tempatan yang cantik. Ketika mengunjungi Gunung Niaoluo yang pernah menyaksikan Xisi mencuci pakaiannya yang dibuat dari kain kasa, Li Bai tidak lupa menghasilkan puisi-puisi yang menggambarkan kehidupan gadis-gadis tempatan yang tinggal di sekitar kawasan itu.
Selepas itu, Li Bai memutuskan menamatkan penjelajahannya di bahagian timur dan pulang kampung dengan berjalan menuju ke barat. Setelah tiba di Jingmen, bandar yang pertama yang beliau singgah setelah memulakan penjelajahan sebelum itu, Li Bai berasa malu jika terus pulang kampung kerana masih belum mencapai apa-apa pun jasa atau kemajuan dalam merealisasikan cita-citanya. Dihantui rasa ragu-ragu, Li Bai sedar tak sedar sudah tinggal di Jingmen selama tiga bulan. Akhirnya, beliau memutuskan untuk memulakan semula penjelajahannya, tak kira diseksa oleh rasa rindu terhadap kampung halamannya.
Kali ini, Li Bai terlebih dahulu bertolak ke pinggir Tasik Dongting di mana dikebumikan bangkai Wu Zhinan, rakan akrabnya, untuk memindahkan bangkai itu ke Jiangxia (Bandar Wuchang, Provinsi Hubei sekarang).