Majlis pelancaran China International Broadcasting Network (CIBN) yang diusahakan oleh Radio Antarabangsa China (CRI), akan berlangsung di Beijing esok. Naib Ketua Pengarang CRI, Ma Weigong, ketika diwawancara oleh wartawan baru-baru ini, menyatakan bahawa siapnya CIBN menandakan CRI mengorak langkahnya ke arah mencapai matlamat untuk menjadi sebuah kumpulan media antarabangsa yang bersepadu. Menurut beliau, CRI menyasarkan untuk menjadikan CIBN ini satu media antarabangsa yang berpengaruh di peringkat global.
Ma Weigong menyatakan bahawa CIBN akan menjadi badan media antarabangsa yang pertama di China yang menggunakan pelbagai jenis bahasa serta mencakupi pelbagai bentuk media baru. Rangkaian yang merangkumi hampir semua perkhidmatan CRI, iaitu radio, surat khabar, internet, terminal mobil dan program audio-visual ini, akan memberikan pengalaman yang cukup berbeza kepada para pengguna.
Ma Weigong menjelaskan bahawa CIBN, sebagai badan penyiar rancangan radio dan TV yang menggunakan media baru, akan menawarkan perkhidmatannya melalui tiga platform, iaitu radio, laman web CRI Online dan IPTV. Pihak pengendali CIBN akan memanfaatkan sepenuhnya ketiga-tiga platform tersebut untuk memperbaiki keupayaannya.
Beliau berpendapat bahawa siapnya CIBN ini sesuai dengan keperluan semasa China untuk meningkatkan komunikasi yang menyasarkan negara luar. Menurut beliau, dengan semakin eratnya hubungan dengan dunia, China amat memerlukan satu saluran yang efektif untuk membolehkan dunia mengenali China secara lebih menyeluruh. CIBN ini dipercayai akan menjadi "jambatan" baru yang dapat membantu merapatkan lagi hubungan antara China dengan dunia.
Siapnya CIBN ini juga menandakan bahawa usaha pihak CRI untuk membina platform penyiaran antarabangsa dengan media baru akan bermula secara rasmi. Ma Weigong menyatakan bahawa usaha untuk membina satu jenama media antarabangsa yang berpengaruh di peringkat global sememangnya memerlukan jangka masa yang agak panjang, dan pelancaran CIBN hanyalah langkah permulaan sahaja dalam proses itu.