Isu ketakseimbangan sosioekonomi yang diketengahkan dalam Sidang Tahunan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) memang menarik minat ramai pihak, termasuklah saya.
Masalah jurang pendapatan yang semakin besar ada di merata-rata tempat di dunia. Ia juga ada di Malaysia. Mencari keseimbangan sosioekonomi merupakan salah satu teras kerajaan Malaysia dalam Rancangan Malaysia ke-10, jadi sebenarnya misi negara China dan Malaysia untuk lima tahun yang akan datang ini ada persamaan yang besar dari segi ini. Ini yang menarik minat saya.
Sebenarnya, isu pembahagian pendapatan yang tidak adil ini telah dibincangkan dalam Sidang Tahunan CPPCC 5 tahun lalu, tetapi nampaknya matlamat yang ditetapkan pada masa itu masih belum tercapai lagi.
Pembangkitan semula isu ini menampakkan bahawa CPPCC tidak lupa akan janjinya untuk terus berusaha untuk membela nasib golongan berpendapatan rendah. Ini memang patut dikagumi memandangkan masalah ketakseimbangan sebenarnya semakin hari semakin serius.
Yang Kaya Semakin Kaya, Yang Miskin Semakin Miskin.
Dapatan Credit Suisse amat mengejutkan. Pendapatan purata golongan yang paling kaya di China 65 kali ganda pendapatan purata golongan paling miskin. 65 kali ganda. Ini jurang yang terlalu besar, lebih-lebih lagi bagi sebuah negara yang rakyatnya seramai 1.3 bilion.
Lebih kurang 50 juta orang di China memperoleh 300 ribu hingga 1 juta yuan RMB setahun, manakala 5 juta orang pula memperoleh lebih dari 1 juta yuan RMB setahun. Golongan kaya ini merupakan 5 peratus daripada jumlah penduduk China, dan mereka ini kaya hasil pelaburan hartanah atau aset-aset lain.
Pada masa yang sama, ada pula yang hanya memperoleh 5 ribu yuan setahun. Ada yang tidak tidur malam memikirkan masalah kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat. Isu perumahan, kenaikan kadar inflasi serta masalah kelonjakan harga bahan makanan adalah antara isu-isu yang tidak asing bagi rakyat biasa.
Ramai yang mengadu mereka terpaksa mengikat perut akibat kenaikan harga barang-barang tanpa kawalan dan terpaksa mengubah gaya hidup mereka demi menjimat wang. Kualiti hidup golongan ini semakin terjejas akibat dibelenggu masalah kewangan. Ibubapa pula sentiasa runsing apabila berhapadan dengan yuran pendidikan atau duit belanja anak.
Golongan ini sudah terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan walau kecil mana sekalipun. Bagi mereka yang mendapati subsidi ini masih tidak mencukupi, ada yang terpaksa mencari kerja sampingan. Ibarat ayam, kais pagi makan pagi. Memandangkan peluang pekerjaan yang halal bukannya sentiasa ada, ada yang terpaksa menjadi perantau atau pekerja migran. Malahan ada pula terpaksa mencari pandapatan haram. Ini antara kesan masalah ketakseimbangan ini.
Kesannya juga dapat dilihat dari segi keselamatan sosial, di mana golongan berpendapatan rendah ini tidak diberi perlindungan secukupnya. Aspek-aspek seperti perkhidmatan penjagaan kesihatan yang asas, pembiayaan dan insurans pengangguran tidak selalunya dihulur kepada golongan ini. Kebanyakan pekerja migran tidak diberi perlindungan insurans oleh majikan.
Golongan berpendapatan rendah di China kelihatannya sudah dipencilkan. Sedihnya, keadaan yang sama juga dapat dilihat di Malaysia. Rintihan rakyat China yang miskin mirip rintihan rakyat Malaysia yang miskin. Diharap kerajaan kedua-dua negara akan lebih agresif dalam usaha untuk membela nasib golongan berpendapatan rendah ini dalam tempoh rancangan lima tahun yang akan datang.
Kurang ertinya meningkatkan GDP negara sekiranya pendapatan rakyat tidak turut meningkat. Kurang ertinya mengembangkan ekonomi negara secara global sekiranya terlalu ramai rakyat yang masih belum bebas daripada belenggu kemiskinan.
Mengorak Langkah Ke Arah Dunia Yang Lebih Adil.
Antara langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan China untuk menangani masalah ketakseimbangan ini adalah dengan menaikkan gaji golongan berpendapatan rendah dan elaun sara hidup, menghadkan pendapatan golongan yang berpendapatan tinggi serta membasmi pendapatan haram.
Ini bukan perkara kecil dan kerajaan China perlu lebih agresif jika benar-benar mahu menyelesaikan masalah ketakseimbangan ini dengan muktamad. Kita tidak mahu isu ini berlarutan, dan kita tidak mahu isu yang sama ini berbangkit sekali lagi selepas tempoh lima tahun. Sudah cukuplah setakat ini.
Sekiranya kerajaan China berusaha bersungguh-sungguh dan langkah-langkah tersebut berjaya mengembalikan keseimbangan sosioekonomi di China, berjaya merapatkan semula jurang antara golongan berpendapatan tinggi dan rendah, ini sesuatu yang patut dicontohi oleh negara-negara lain seperti Malaysia.
Kata-kata Jia Qinglin, pengerusi CPPCC, amat menarik. "Hasrat rakyat merupakan motif usaha CPPCC."
Hanya kerajaan yang mendengar hasrat rakyatnya layak digelar "kerajaan berjiwa rakyat", dan kerajaan beginilah yang akan disayangi rakyat.
(Farahnaz binti Hashim)