Cari:
Jiangxi: Bermulanya Lawatan Bersejarah yang Sangat Dinantikan
2011-05-19 08:15:16 CRI Cetak

(Oleh Zabidi Ishar)

Bermula semalam, Selasa 17 Mei 2011, seramai 10 pemenang bertuah yang mewakili 10 buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Laos, India, Sri Lanka, Kanada, Jepun, Republik Korea, Mongolia dan Australia telah tiba ke Beijing, China.

Kesemua mereka ini telah terpilih sebagai pemenang bertuah "Kuiz Pengetahuan Jiangxi Yang Menawan" yang dianjurkan oleh Radio Antarabangsa China.

Setelah penat dalam penerbangan dari destinasi masing-masing dan berehat selama sehari, kesemua mereka pada tengah hari tadi telah diterbangkan ke Nanchang iaitu ibu kota Jiangxi.

Selama dua jam menaiki pesawat Air China dari Beijing ke Nanchang, kesemua mereka yang turut disertai bersama beberapa kakitangan CRI kemudiannya menaiki bas ke Gunung Lushan iaitu sebuah lokasi peranginan terkemuka di China.

Untuk makluman, Gunung Lushan juga merupakan sebuah lokasi pelancongan yang telah diwartakan oleh UNESCO sebagai "Warisan Dunia" kerana merupakan simbol kepada kebudayaan dan keagamaan zaman lampau China.

Segala penat lelah mereka seakan berbaloi apabila berada di puncak gunung Lushan yang sangat mempesona dan kemudiannya dibawa menginap di Hotel Lushan yang terletak di puncak gunung.

Selain Gunung Lushan, kesemua pemenang bertuah itu akan melawat ke Jingdezhen iaitu lokasi terkenal dalam pembuatan tembikar sejak lebih 1,700 tahun yang lampau.

Selepas itu mereka juga akan ke Kampung Maoyuan iaitu yang digelar sebagai sebuah perkampungan terindah di negara China.

Sebelum pulang ke Beijing pada 23 Mei, mereka juga akan berpeluang melawat Gunung Sanqing terbentuk kira-kira satu bilion tahun dulu.

Gunung Sanqing ini dikatakan pada asalnya sebuah gunung berapi dasar lautan dan kira-kira 850 juta tahun yang lalu, air laut di kawasan itu surut sebab berlaku pertembungan antara dua plat geologi yang berhampiran.

Di Beijing nanti pula mereka akan melawat beberapa destinasi pelancongan tekemuka di dunia seperti Tembok Besar China, Istana Kuno, Taman Musim Panas dan Dataran Tian'anmen.

Lawatan ini sangat besar ertinya bagi saya yang merupakan seorang wartawan di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia yang mana selepas pulang nanti akan menceritakan segala keindahan itu dalam bentuk penulisan berita.

Berita itu nanti boleh dibaca bagi menggambarkan sebenar-benarnya keindahan di China bagi membolehkan proses hubungan dua hala antara China dan Malaysia terjalin dengan erat antara rakyat kedua-dua negara.

Seperti pepatah "tidak kenal maka tidak cinta" maka wajarlah rakyat kedua-dua negara juga kepada negara yang lain mengambil kesempatan untuk mengunjungi China yang keindahannya begitu terkenal di seantero dunia sejajar dengan tuntutan Islam iaitu mengeyorkan umatnya melawat sehingga ke negara China.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China