Secara keseluruhan melawat beberapa tempat di China seperti Gunung Lushan, Jingdezhen dan Beijing merupakan satu pengalaman menarik yang tidak boleh dilupakan seumur hidup bagi mereka yang pernah melawatinya.
Ia membuktikan betapa bersungguhnya kerajaan China untuk "menjual" keunikan itu sebagai satu produk pelancongan yang dikategorikan sebagai "maha hebat".
Bayangkan bagaimana hebatnya berada di puncak Gunung Lushan dan Gunung Sanqing yang kaya dengan flora dan faunanya yang sememangnya tidak terdapat di tempat lain sekali pun.
Provinsi Jiangxi walaupun terletak di pedalaman tidak merupakan masalah untuk ke sana kerana ia kaya dengan produk pelancongan yang sememangnya diakui menarik.
Melawat Muzium Tembikar di Jingdezhen juga merupakan satu nostalgia yang tidak akan dilupakan seumur hidup apabila melihat bagaimana uniknya tembikar bermutu tinggi itu dibina.
Jingdezhen yang juga dikenali sebagai "kota tembikar" di China memberikan satu pengalaman berguna bagaimana pentingnya budaya tempatan itu dipertahankan demi kelangsungan budaya sesuatu negara.
Berjalan kaki di atas tembikar serta melihat tiang lampu yang dibina dengan tembikar serta deretan kedai menjual tembikar merupakan satu kelainan perasaan yang sangat sukar digambarkan.
Ingin meneroka satu pengalaman mencabar, mendaki Gunung Sanqing memberikan anda pengalaman itu disamping melihat batuan pelbagai bentuk yang terbina sejak sekian lama.
Tidak dapat digambarkan bagaimana takjubnya perasaaan itu melihat batuan-batuan istimewa itu seolah-olah mahu berkata-kata kepada kita untuk datang melawat buat kali yang berikutnya.
Sesungguhnya pengalaman di China mengajar kita agar peri pentingnya menjaga khazanah alam bagi membolehkan generasi berikutnya mempertahankan khazanah dan seni budaya demi masa depan sesebuah negara.