di depan Masjid Eidgah, Kashgar
Kami berjalan hingga ke penghujung yang menemukan kami ke dataran Masjid Eidgah yang cukup terkenal bukan sahaja di Xinjiang tetapi di China. Ia merupakan masjid terbesar di China. Saya bersama kak Noraini menghabiskan masa menunggu rakan-rakan rombongan yang lain dengan melihat persekitaran di sini. Kelihatan beberapa orang perempuan sedang membersihkan dataran tersebut yang difahamkan untuk kedatangan hari raya korban pada Isnin nanti.
Tiba-tiba kami ditegur oleh seorag lelaki warga emas yang bertanyakan adakah kami dari Malaysia. Walaupun menghadapi masalah bahasa namun kami faham maksudnya yang asyik menyebut "Malaysia". Dia memaklumkan ketika hari raya , kira-kira 100 ribu penduduk Islam di sini memunaikan solat di sini.
Kawasan dataran ini menjadi tumpuan ramai dengan melakukan pelbagai aktiviti termasuk menjadi tempat pertemuan atau tempat sosial dikalangan masyarakat warga emas, tempat perniagaan mengilatkan kasut dan pelbagai perniagaan lain lagi. Seterusnya kami dibawa masuk ke masjid dengan bayaran setiap seorang sebanyak 25 yuan. Suasana di sekitar masjid sangat tenang denga pokok yang menghijau. pemandu pelancong memaklumkan ramai wanita Uygur menggunakan nama Gulli yang bermaksud bunga dengan harapan mereka akan cantik seperti bunga.
Kami kemudiannya di bawa masuk ke dalam masjid dan sempat bertemu dengan imam masjid tersebut yang bernama Ilmah yang telah 10 tahun menjadi imam di situ. Beliau berkata pada hari Jumaat kira-kira 10 ribu lelaki akan sembahyang Jumaat di sini , manakala pada hari raya aidilfitri dan aldiladha kira-kira 100,000 akan bersembahyang di sini. Masjid yang berkeluasan 16 ribu meter persegi itu sering menjadi pilihan masyarakat setempat untuk bersembahyang di sini.
Bersama-sama dengan Kak Noriani (tengah) dan Puspa (kiri) di kawasan Masjid Eidgah
Di masjid ini jugalah satu-satunya masjid yang boleh dikunjungi oleh wanita di sini. Setelah melihat persekitaran di sini, kami kemudiannya beredar untuk makan tengahari dimana menu hari ini hampir sama dengan semalam, dengan dihidangkan nasi, sup kambing , sayur dan ikan. Selepas itu kami dibawa pula ke Kota Lama Kashgar yang masih didimai oleh kira-kira 10 ribu penduduk yang terdiri daripada 2 ribu keluarga.
Satu pengalaman yang unik di sini apabila melihat kita lama yang masih kukuh walaupun usianya telah beribu-ribu tahun lamanya. Kawasan yang berkeluasan 2 kilometer persegi itu mempunyai 2 ribu buah rumah dan telah dibuka kepada pelancong untuk meihat sendiri masyarakat uygur di sini pada 2003.Namun begitu dapat dilihat kedaifan penduduk di sini yang kelihatan masih jauh ketinggalan dari arus pembangunan. Setelah menghabiskan masa hampir satu jam di kota lama ini, kami pulang ke hotel untuk berehat dan seterusnnya makan malam.
Esok kami akan menuju ke barzar untuk melihat aktiviti perniagaan masyarakat Kashgar di sini dan sudah pasti ada sesuatu yang menarik yang harus dibawa pulang ke Malaysia nanti.
(Kurniawati Kamarudin BERNAMA)