1. Industri Kewangan ASEAN Diperkukuh, Bursa Sekuriti Pertama di Laos dan Kemboja
Bursa sekuriti pertama di Laos dirasmikan di Vientiane pada 11 Januari 2011. Pada Julai 2011, bursa sekuriti pertama di Kemboja ditubuhkan dan akan mula beroperasi pada Januari 2012. Setakat ini, semua negara ASEAN kecuali Myanmar mempunyai bursa sekuriti. Industri kewangan dianggap tonggak kepada ekonomi moden. Perkembangan industri kewangan negara-negara ASEAN bermakna besar bagi pembangunan ekonomi serantau.
2. "Single Visa" ASEAN akan Diperkenalkan
Pada 17 Januari 2011, Sidang Menteri Pelancongan ASEAN diadakan di Phnom Penh. Sidang berkenaan telah membincangkan dan meluluskan Rancangan Strategi Pembangunan Pelancongan ASEAN 2011-2015. Sasaran utama rancangan itu adalah memperkenalkan "Single Visa" dalam tempoh lima tahun yang akan datang. Setelah visa itu diperkenalkan, pelancong di luar rantau ASEAN boleh melancong semua negara ASEAN dengan memegang visa itu. Dalam Sidang Menteri Luar ASEAN yang diadakan pada 16 Januari pula, para menteri bersepakat untuk meneliti kebolehlaksanaan rancangan berkenaan, dan memperkenalkan visa itu secepat mungkin.
3. Kumpulan Pemimpin Baharu Vietnam Terpilih
Kumpulan pemimpin baharu Vietnam terpilih semasa Perhimpunan Kebangsaan Ke-11 Parti Komunis Vietnam pada 19 Januari 2011. Nguyen Phu Trong menggantikan Nong Duc Manh dan dipilih sebagai Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam. Ini menandakan peralihan kumpulan pemimpin negara berkenaan. Dari awal Julai hingga awal Ogos pula, Persidangan Pertama Kongres Ke-13 Vietnam telah memilih pemimpin-pemimpin negara termasuk Pengerusi Kongres, Presiden dan Perdana Menteri.
4. Konflik Paling Sengit di Sempadan Thailand-Kemboja
Dari 4 hingga 7 Februari, dan dari 22 hingga 29 April 2011, tentera Kemboja dan Thailand bertempur di wilayah yang dipertikaikan di kawasan sempadan. Kedua-dua pihak telah menggunakan senjata berat seperti meriam dan peluru roket. Pertempuran ini mengorbankan berpuluh-puluh anggota tentera. Pada 15 September, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra membuat lawatan ke Kemboja dan berunding dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen. Kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk mematuhi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa, The Hague untuk menempatkan semula tentera di kawasan sekitar Kuil Preah Vihear. Dengan itu, situasi yang tegang di wilayah berkenaan menjadi reda.
5. Pembaharuan dan Perdamaian Dalaman Myanmar Dipercepat
Pada 30 Mac 2011, Presiden U Thein Sein dan kabinet baharu Myanmar mengangkat sumpah di Naypyidaw. Badan berkuasa tertinggi Myanmar iaitu Majlis Kedamaian dan Pembangunan Kebangsaan menyerahkan kuasa kepada kerajaan baharu. Ini menandakan peralihan pemerintah ketenteraan ke kerajaan yang dipilih oleh rakyat di Myanmar. Pada 19 Ogos, Presiden U Thein Sein menemui Aung San Suu Kyi. Pada Oktober pula, U Thein Sein meluluskan untuk meminda undang-undang pendaftaran parti politik, membatalkan banyak sekatan dan halangan, supaya memberi laluan kepada Aung San Suu Kyi untuk terlibat dalam proses politik negara.
6. Pilihan Raya Singapura Tanda Permulaan Perubahan Politik
Pilihan raya kongres Singapura diadakan pada 7 Mei 2011. Parti pemerintah, Parti Gerakan Rakyat mendapat 60.14% undi yang sah, iaitu sokongan yang paling rendah sejak beberapa dekat lalu. Di samping itu, jumlah kawasan pilihan raya yang dimenangi parti pembangkang pula mencipta rekod dalam sejarah. Pada 14 Mei, Menteri Mentor, Lee Kuan Yew dan Menteri Kanan Goh Chok Tong mengeluarkan kenyataan bersama yang menyatakan mereka tidak akan memegang jawatan dalam kabinet baharu, supaya memberi laluan kepada generasi muda. Pada 18 Mei, Lee Hsien Loong mengumumkan senarai kabinet baharu, Lee Kuan Yew buat kali pertama tidak dilantik jawatan dalam kabinet sejak menyandang jawatan Perdana Menteri pada 1959. Kabinet baharu menampakkan ciri-ciri cekap, inovatif dan muda.
7. Indonesia Perkenalkan Pelan Pembangunan Jangka Sederhana
Pada Julai 2011, Indonesia memperkenalkan pelan pembangunan ekonomi nasional jangka sederhana, yang mensasarkan kadar purata pertumbuhan ekonomi negara mencapai 7 hingga 8 peratus dalam 15 tahun yang akan datang. Wawasannya menjadikan Indonesia antara 10 kuasa ekonomi terdepan di dunia menjelang 2025. Selepas krisis kewangan tercetus pada tahun 2008, ekonomi Indonesia berkembang baik setelah mengalami tempias yang terhad ekoran kemelesetan ekonomi Eropah dan Amerika, serta mencapai pertumbuhan tinggi, inflasi rendah dan kadar pengangguran rendah. Kadar pertumbuhan KDNK Indonesia mencapai 5%-6% selama enam tahun berturut-turut. Indonesia merupakan anggota Kumpulan 20 dan juga negara membangun yang besar, ia sedang memberikan pengaruh yang kian besar di Asia bahkan dunia.
8. Yingluck Shinawatra Dipilih Perdana Menteri Wanita Pertama Thailand
Pilihan raya Dewan Rakyat Thailand diadakan pada 3 Julai 2011. Parti Pheu Thai yang dipimpin Yingluck Shinawatra mengalahkan Parti Demokrat yang dipimpin oleh Abhisit Vejjajiva dan menang dalam pilihan raya tersebut. Dalam persidangan Dewan Rakyat yang diadakan pada 5 Ogos, Yingluck dipilih sebagai Perdana Menteri wanita pertama dalam sejarah Thailand. Pada 8 Ogos, Yingluck menerima titah Raja Bhumibol Adulyadej dan secara rasmi memulakan perkhidmatan sebagai Perdana Menteri ke-28 Thailand.
9. Bencana Banjir Besar Melanda Thailand
Hujan lebat turun dengan tidak terhenti di Thailand sejak akhir Julai 2011. Bencana banjir dan banjir lumpur turut berlaku, yang mengakibatkan kematian dan kecederaan yang teruk. Penghasilan padi dan pelancongan Thailand turut terjejas teruk. Pada 15 November, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra mengaku bahawa banjir di sebahagian bandar raya Bangkok mungkin tidak dapat susut menjelang akhir tahun ini.
10. Tunjuk Perasaan "Bersih" Diredakan Polis Malaysia
Pada 9 Julai 2011, anggota dan penyokong Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) mengadakan tunjuk perasaan di beberapa tempat di Kuala Lumpur, menggesa pembaharuan terhadap sistem pilihan raya yang sedia ada. Polis Malaysia mengambil tindakan yang berkesan dan berjaya mengelakkan situasi daripada memburuk. Pada 10 Julai, Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan tunjuk perasaan tersebut adalah haram. Walau bagaimanapun kerajaan telah meminda dan menyempurnakan undang-undang pilihan raya. Pilihan raya Malaysia bakal diadakan pada 2012. Pertubuhan Bersih pernah mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran pada 10 November 2007, secara tidak langsung mengakibatkan "gempa bumi politik" sewaktu pilihan raya umum berlangsung pada Mac 2008. Dalam pilihan raya umum itu, Barisan Nasional buat pertama kali kehilangan 2/3 kerusi dalam parlimen.
11. Pemimpin China-Filipina dan China-Vietnam Bincang Isu Laut China Selatan
Pada 30 Ogos dan 11 Oktober 2011, Presiden Filipina, Benigno Aquino III dan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong masing-masing membuat lawatan ke China. Presiden China, Hu Jintao ketika berunding dengan Aquino menyatakan, China berpendirian teguh dalam isu Laut China Selatan, iaitu pertikaian berkenaan mesti diselesaikan oleh kedua-dua negara terlibat melalui rundingan secara damai. China bersedia bersama-sama negara-negara ASEAN termasuk Filipina, melaksanakan Deklarasi Tata Pengendalian Pihak-Pihak Berkaitan di Laut China Selatan. Aquino pula menyatakan, Filipina akan berusaha melaksanakan deklarasi tersebut. Isu Laut China Selatan bukan segalanya hubungan China-Filipina dan ia tidak akan mempengaruhi hubungan Filipina-China. Beliau berharap pertikaian berkenaan dapat diselesaikan secepat mungkin.
Hu Jintao dan Nguyen Phu Trong telah bertukar-tukar pandangan tentang isu laut. Nguyen Phu Trong menyatakan bahawa pihaknya bersedia berhubung dengan pemimpin China mengenai penyelesaian masalah laut. Beliau menegaskan bahawa isu ini tidak akan mempengaruhi hubungan kedua-dua parti, negara dan rakyat.
Sebelum itu, Menteri Luar China, Yang Jiechi dan Menteri-Menteri Luar ASEAN telah mencapai persetujuan tentang pelan tindakan susulan kepada Deklarasi Tata Pengendalian Pihak-Pihak Berkaitan di Laut China Selatan.
12. Tragedi Pembunuhan 13 Anak Kapal China
Pada 5 Oktober 2011, dua buah kapal kargo China dirompak di kawasan Tiga Segi Emas Sungai Mekong, 13 anak kapal China dibunuh dalam tragedi berkenaan. Menjaga keselamatan pelayaran di aliran Sungai Mekong merupakan tugas yang mendesak bagi negara-negara di kawasan aliran sungai berkenaan. Pada 31 Oktober, Persidangan Kerjasama Keselamatan Penguatkuasaan Aliran Sungai Mekong China, Laos, Myanmar dan Thailand diadakan di Beijing, serta mengeluarkan kenyataan bersama.
13. Pusat China-ASEAN Ditubuhkan
Majlis perasmian Pusat China-ASEAN diadakan di Bali, Indonesia pada 18 November 2011. Pusat China-ASEAN yang beribu pejabat di Beijing, merupakan sebuah pertubuhan antara kerajaan. Misinya menggalakkan kerjasama China-ASEAN dalam bidang perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan dan kebudayaan.
14. Rundingan TPP, Keutamaan Baharu Strategi AS
Pada 12 hingga 13 November 2011, Sidang Kemuncak Tidak Rasmi APEC diadakan di Hawaii, AS. Dalam tempoh sidang itu berlangsung, AS giat mendorong rundingan mengenai Perjanjian Hubungan Rakan Ekonomi Strategik Merentasi Pasifik (TPP). Setakat ini, sembilan buah negara termasuk AS, Singapura, Malaysia, Brunei, Vietnam, Australia, New Zealand, Chile dan Peru, telah menganggotai rundingan TPP. Pada 17 November, pemimpin-pemimpin ASEAN telah meluluskan Kerangka Hubungan Rakan Ekonomi Komprehensif Serantau dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-19. Matlamatnya kawasan perdagangan bebas yang merangkumi 10 negara ASEAN, China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand selepas tahun 2013.
15. Perluasan Sidang Kemuncak Asia Timur, ASEAN Tetap Berperanan Utama
Pada 19 November 2011, Sidang Kemuncak Asia Timur ke-6 diadakan di Bali, Indonesia. AS dan Rusia menghadiri sidang itu sebagai anggota. Justeru mekanisme Sidang Kemuncak Asia Timur diperluas daripada 10+6 kepada 10+8, iaitu 10 negara ASEAN, China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia, New Zealand, AS dan Rusia. Rusia dan New Zealand telah menghantar Menteri Luar untuk menghadiri sidang kemuncak kali ini.
Hasil utama sidang kemuncak berkenaan, dua perisytiharan yang masing-masing mengenai prinsip saling menguntungkan dan kesalinghubungan dengan ASEAN. Sidang itu menegaskan peranan pimpinan ASEAN, kerjasama 10+1 dan 10+3 sebagai saluran kerjasama utama.