Xiamen merupakan salah satu daripada lima buah zon ekonomi khas di China. Kononnya, pada zaman purba kala, bandar itu ialah tempat persinggahan bagi burung-burung bangau. Justeru, ia juga dikenali sebagai "Pulau Bangau".
Xiamen mungkin masih asing bagi ramai orang asing. Dalam tanggapan mereka, bandar tersebut masih kurang maju dan tarikannya hanya alam semula jadi yang tersendiri dan belum terusik. Namun, jangkaan sebegitu pasti akan meleset jika anda berpeluang untuk berkunjung ke sini. Tatkala pesawat yang anda naiki hampir mendarat di lapangan terbang, dari atasnya jelas kelihatan sebuah bandar moden dan maju yang terdiri daripada gugusan pulau-pulau kecil, menghasilkan satu landskap yang cukup menawan.
Bandar raya Xiamen nyata bersih dan sukar menemui sampah bertaburan di tepi jalan raya. Bandar ini mengharamkan penggunaan motosikal bagi mengurangkan kesesakan dan kemalangan di samping bertujuan memelihara alam sekitar. Malah setiap kenderaan juga dihadkan kelajuannya. Jika tidak berkereta sendiri, penduduk di situ lebih gemar menggunakan perkhidmatan awam yang terdiri daripada bas dan teksi. Malah mereka juga tidak kisah untuk berbasikal (manual atau elektrik ) dan berjalan kaki.
Menjamu selera di Xiamen tidak sukar kerana terdapat beberapa restoran masakan Xinjiang yang halal beroperasi di situ. Pelbagai hidangan enak yang unik pasti dapat memenuhi selera anda.