Nelayan berehat seketika
Walaupun pulau Gulangyu destinasi pelancongan yang amat popular, dan gaya pembinaannya menampakkan kesungguhan pihak tempatan untuk mempromosi pelancongan, namun ia bukanlah pulau yang khusus dibuka kepada pelancong semata-mata. Dimaklumkan, terdapat lebih 16 ribu orang penduduk tempatan yang tinggal di sana. Rata-rata rumah penduduk tempatan dapat dilihat.
Suasana di pulau Gulangyu lain sama sekali dengan suasana di seberang. Kami serta-merta mengagumi kesunyian dan kebersihannya. Rupa-rupanya, sebarang kenderaan yang mencemar adalah dilarang di pulau itu, dan cuma kenderaan elektrik dibenarkan. Nescaya langkah ini dapat mengekalkan kebersihan dan keindahan pulau Gulangyu.
Arca dolfin menyambut, kereta elektrik menanti ketibaan pelancong
Aktiviti pertama, kami mendaki bukit Riguangyan. Meskipun puncaknya tidak begitu tinggi, namun pendakiannya agak mencabar kerana tangga dan laluan semuanya sempit and curam. Apabila tiba di puncak, perasaan gembira dan pesona yang dirasakan memang tidak dapat digambarkan dengan kata-lata. Dari suatu sudut, kami dapat melihat tanah besar China. Dari sudut yang lain pula, lautan biru terbentang luas. Cukup menakjubkan.