Penat berjalan, kami berehat seketika di tepi pantai. Di belakang kami, patung Zheng Chenggong, seorang pahlawan yang berjuang mempertahankan pulau Taiwan tersergam di atas tebing tinggi.
Pahlawan Zheng Chenggong tampak tersergam
Menurut pemerhatian saya, pantai yang mengelilingi pulau Gulangyu ini ada dua jenis; pasir di pantai yang menghadap ke lautan nampaknya lebih kasar berbanding pasir di pantai yang menghadap ke tanah besar. Namun, di kedua-dua pantai juga ramai pelancong bersiar-siar. Pasangan kekasih berpegangan tangan sambil menyusuri pantai dengan berkaki ayam, sedangkan anak kecil bermain pasir.
Anak kecil bermain pasir
Aktiviti kami untuk hari pertama tamat dengan jamuan makan malam di sebuah restoran Xinjiang. Kami semua pulang ke bilik dengan penuh kepenatan, namun kepuasan di dalam hati jelas terpancar pada wajah masing-masing.