(oleh Md Radzi bin Mohd Ruslan, RTM)
Tanggal 15 Sept 2012, kami memulakan perjalanan Kembara ini. Krew dari RTM disertai krew TV Al-Hijrah berlepas ke Xiamen jam 4.55 petang dengan menaiki penerbangan Xiamen airways. Selepas hampir empat jam perjalanan dari KLIA, kami selamat tiba di Bandar Xiamen.
Keesokan hari, kami bersama krew dan wartawan daripada Indonesia memulakan jelajah di Bandar Xiamen. Lokasi yang pertama ialah Pulau Gulangyu. Perjalanan ini hanya memakan masa 10 minit dengan menaiki feri. Sememangnya sungguh indah ciptaanTuhan. Dengan berlatarbelakangkan pemandangan laut, suasana di sini cukup mempersonakan. Seperti berada di bumi Eropah, pulau yang pernah dijajah oleh negara asing ini masih mengekalkan ciri-ciri asal baik dari segi reka bentuk rumah colonial dan persekitarannya yang sangat bersih. Apa yang unik, pulau ini tidak membenarkan penggunaan kenderaan berpetrol, hanya kenderaan elektrik dan basikal sahaja dibenarkan di atas jalan raya.
Pulau yang berkeluasan 1.8 km persegi ini mempunyai penduduk seramai 20 ribu orang dan rata-rata masyarakat di sini cukup peramah dan sopan. Kami sempat melawat ke beberapa lokasi menarik, antaranya muzium piano, batu cahaya matahari dan melihat pemandangan indah Bandar Xiamen di atas puncak bukit pulau Gulangyu.
Kami juga berkesempatan menemuramah beberapa penduduk tempatan di sini untuk siri dokumentari program Gelerinasional yang akan disiarkan di TV1. Sepanjang berada di pulau Gulangyu, alunan bunyi piano sentiasa kedengaran di telinga kami. Ya, ia memang sesuatu yang amat menenangkan dan mengasyikkan.
Walaupun penat memandangkan cuaca di sini agak panas, tetapi pengalaman berada di sini tidak akan kami lupakan. Dan pasti kami akan kembali lagi!