(oleh Md Radzi bin Mohd Ruslan, RTM)
Empat hari sudah berlalu, hari ini merupakan hari kelima kami berada di Tanah Besar China. Jika ditanya perasaan kami, pastinya semakin teruja dan lebih bersemangat bagi meneruskan eksplorasi Kembara Muslim di China. Hati kami semakin dekat dengan Negara ini. Budaya, keindahan alam dan kemajuannya membuka mata kami untuk melihat dan mengenali lebih dekat lagi negara yang mempunyai penduduk lebih daripada 1.3 billion ini.
Pengisian kembara untuk hari ini, kami akan ke Xi'an! Sebuah Bandar kuno yang pernah menjadi ibu kota bagi 6 dinasti dan cukup terkenal di seluruh dunia dengan tarikan 'Terracota Army' atau Muzium Patung Tanah Liat Perwira. Penerbangan kami dari Quanzhou ke Xi'an mengambil masa hamper lima jam. Tekak terasa kering, perut sudah berbunyi-bunyi. Rindu masakan Malaysia seperti nasi lemak, nasi kandar, roti canai dan semestinya the tarik! Di sini kami biasanya akan makan makanan laut dan sayur-sayuran. Rasanya, memang enak!
Xi'an sememangnya sebuah bandar yang sangat maju tetapi masih mengekalkan seni budaya, sejarah dan tradisi masyarakat mereka. Walaupun cuaca di sini agak terik tetapi udaranya sangat bersih dan nyaman.Dan dengan persekitaran yang menghijau, tidak hairanlah Xi'an termasuk di antara 10 bandar yang mempersonakan di China. Pemandangan waktu malam di sini, sangat meriah dengan kilauan cahaya warna keemasan di bangunan dan kompleks membeli-belah. Di sini banyak kedai-kedai yang menjual pelbagai bentuk cenderamata, sempat jugalah kami beli buat teman dan keluarga di Malaysia:)