Cari:
Prof. Dr. Mohd. Taib Bin Hj. Dora
2012-12-20 16:41:50 CRI Cetak

Profesor Dr. Mohd. Taib Hj. Dora, dilahirkan pada 5 Julai 1961 di Kampung Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam bidang Antropologi dan Sosiologi pada tahun 1984, Ijazah Sarjana (Sosiologi) pada tahun 1991 dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sosiologi Bandar pada tahun 1997 dari Universiti Malaya. Beliau telah memulakan kerjayanya di Universiti Teknologi Malaysia sebagai Penolong Pensyarah A pada tahun 1985 dan menjadi Pensyarah pada tahun 1992 serta Professor Madya pada tahun 1999. Seterusnya dilantik sebagai Profesor di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mulai 1 September 2004. Pernah memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (1997-1999), DEKAN Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia (2001-2004), di Universiti Teknologi Malaysia (UTM); DEKAN Pusat Pengajian Siswazah (2004-2007), dan juga DEKAN Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan (2007-2011) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Bidang kepakaran adalah Sosiologi Bandar dengan pengkhususan penyelidikan dalam bidang kemiskinan bandar. Selain itu, bidang kepakaran dalam bidang penilaian impak sosial dan pembangunan sumber manusia. Banyak menghasilkan penyelidikan dalam bidang-bidang tersebut di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Aktif dalam penulisan dan pembentangan kertas kerja di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.Telah menghasilkan lima buah buku karya asli, makalah, bab dalam buku dan banyak artikel dalam jurnal di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Buku karya asli yang kedua bertajuk Peminggiran Sosial Keluarga Melayu Termiskin Bandar telah memenangi Anugerah Buku Karya Asli Terbaik sempena Hari Penerbitan UTM pada tahun 2001. Tiga buah buku terbaru yang diterbitkan bertajuk Mengurus Stres, Kemahiran Insaniah: 7 Kompetensi Unggul Mahasiswa, Hukum Merokok dari Perspektif Islam dan Idea Perniagaan Mikro. Beliau juga pernah mendapat Hadiah Anugerah Penulis Artikel Pengguna anjuran Persatuan Pengguna Malaysia dan kini merupakan Ketua Editor Journal of Human Capital Development (JHCD), Terbitan UTeM.

Selain itu, anugerah lain yang pernah diterima sepanjang perkhidmatan beliau di UTM dan UTeM adalah Hadiah `Friendship Programme For 21st. Century' iaitu lawatan sambil belajar ke Jepun anjuran JICA pada tahun 1991, Hadiah Biasiswa Ryoichi Sasakawa Foundation dari Kerajaan Jepun di peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) dari tahun 1993 hingga tahun 1996, Research Fellow (1995) di Centre For Asian Studies (CASA), University of Amsterdam, Hadiah Fellowship JSPS (Japan Society for Promotion Science) sebagai Research Fellow di Centre For Southeast Asian Studies, Kyoto Univeriti, Jepun pada tahun 1999, Profesor Pelawat di Beijing Foreign Studies University (BFSU), Beijing, China (Oktober 2011 hingga Mac 2012), dan kini sebagai PENYANDANG KURSI PENGAJIAN MELAYU CHINA, di Beijing Foreign Studies University (BFSU), Beijing China.

Profesor Mohd. Taib aktif memberikan khidmat kepada komuniti dan organisasi termasuklah menjadi Pengerusi Badan Kebajikan UTeM, Pengerusi PIBG sekolah dan Pengerusi Kelab Ibubapa Guru Islam Melayu (KIBGIM), Melaka. Beliau juga merupakan Timbalan Ketua Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan, Majlis Profesor Negara (MPN). Di samping memberikan khidmat kepakaran dalam bidang sosiologi kepada agensi dan jabatan di luar universiti. Khidmat beliau ini membawa kepada pengikhtirafan oleh kerajaan negeri Melaka dengan dianugerahkan pingat kebesaran BINTANG CEMERLANG MELAKA (BCM) pada tahun 2009.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China