Cari:
Memperkasa Pengajian Bahasa Melayu di China
2012-12-24 17:14:40 CRI Cetak

 Bak kata pepatah Melayu, `tak kenal maka tak cinta'. Begitulah besar ertinya pepatah tersebut kepada Prof. Wu Zong Yu yang merupakan pengasas penubuhan Pengajian Bahasa Melayu di Beijing, China. Beliau telah menubuhkan Program pengajaran bahasa Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU) sejak tahun 1961 dan memulakan pengambilan pelajar bahasa Melayu kumpulan pertama China pada tahun 1962. Pengajian bahasa Melayu di BFSU berterusan hinggalah ke hari ini. Hasil usaha Prof Wu dengan kerjasama rapat pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Kerajaan Malaysia, maka ditubuhkan Pusat Pengajaran Bahasa Melayu di BFSU pada 20 Jun 1997 bagi menyemarakkan usaha pendidikan bahasa Melayu di negara ini. Seterusnya, pada 1 September 2005, ditubuhkan pula secara rasminya Pusat Pengajian Melayu China, dengan Prof. Wu sebagai Pengarahnya sehinggalah ke hari ini. Dengan penubuhan Pusat Pengajian Melayu China ini, usaha pendidikan bahasa Melayu diperluaskan lagi cakupannya dalam bidang pengajian Melayu.

Menurut statistik, sejak 1960-an hingga 2008, sebanyak 14 angkatan pelajar dengan jumlahnya 241 orang pernah atau sedang belajar bahasa Melayu di BFSU. Dalam tempoh 47 tahun yang lalu, seramai 178 orang graduan telah tamat dari Jabatan Bahasa Melayu BFSU. Graduan-graduan Jabatan Bahasa Melayu dari BFSU ini menjadi Penyarah di universiti, Pemandu Pelancong, Juru Penyiar di Radio Antarabangsa China (CRI), Pemberita, Pegawai di bank, kaki tangan Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Beijing dan Diplomat-diplomat terutamanya di negara-negara alam Melayu. Antara mereka, ada yang pernah memegang jawatan sebagai Duta Besar, Kaunselor, Konsular atau Konsul di Singapura, Malaysia, Indonesia dan Negara Brunei Darussalam.

Ketika ini Jabatan Pengajian Melayu, BFSU mempunyai seramai 6 orang staf akademik yang berjawatan Prof. Madya (2 orang) dan Pensyarah (4 orang). Kesemua mereka begitu fasih berbahasa Melayu kerana telah mengikuti pengajian bahasa atau pengajian Melayu sama ada di Beijing, China maupun di Malaysia sejak peringkat Ijazah Sarjana Muda. Seorang daripada Pensyarahnya telahpun memperolehi PhD dari Universiti Malaya dan seorang lagi sedang menyiapkan tesis PhD di di Universiti Malaya.

Pada September 2005, seiring dengan lawatan Dato' Sri Najib bin Tun Razak, selaku Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu, Pusat Pengajian dan Pembelajaran Bahasa Melayu China telah ditingkatkan pangkatnya menjadi Pusat Pengajian Melayu China dan upacara perasmian telah disempurnakan oleh Dato' Sri Najib Tun Razak di Bangunan Penerbit Pengajaran dan Penyelidikan Bahasa Asing, BFSU. Dato' Sri sendiri juga bersetuju untuk menjadi penaung kepada pusat yang terbaharu ini. Pada tahun yang sama, Kabinet Malaysia telah memutuskan untuk meletakkan satu Kursi Pengajian Melayu di China yang mana merupakan Kursi Pengajian Melayu ketiga sesudah Kursi di Universiti Leiden, Belanda dan Universiti Victoria, New Zealand. Usaha ini boleh diterjemahkan sebagai pengiktirafan kerajaan Malaysia kepada upaya pemerintah Republik Rakyat China dan Beijing Foreign Studies University khasnya dalam memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu di Tanah Besar China.

(Gambar-gambar Pelajar Tahun Akhir Jurusan Bahasa Melayu, BFSU 2011/2012)

Justeru, bagi memperkukuhkan lagi kepesatan perkembangan Program Pengajian Bahasa Melayu di China, berbagai usaha hendaklah dilakukan secara berterusan. Ini terutama sekali berdasarkan dapatan kajian dalam kalangan pelajar Jurusan Bahasa Melayu, BFSU awal tahun ini mendapati bahawa terdapat banyak perkara perlu diberikan perhatian yang sewajarnya oleh pihak-pihak tertentu. Antara usaha dan cadangan yang dapat dirumuskan daripada kajian tersebut adalah seperti berikut:-

1. Memperkukuh Kemahiran Tenaga Pengajar.

Walaupun perkara ini tidaklah begitu kritikal, namun sebagai pihak yang akan menyampaikan pengetahuan dan melaksanakan program pengajian, adalah perlu tenaga pengajar diperkukuhkan pengetahuan dan kemahiran masing-masing dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Justeru, bagi meningkatkan kemahiran tenaga pengajar, dikemukakan cadangan seperti berikut:-

i) Meningkatkan kemahiran pengajaran secara lebih inovatif dan kreatif.

ii) Mempertingkatkan pengetahuan yang relevan dengan subjek pengajaran agar pelajar mendapat pengetahuan terkini dalam bidang pengajian.

iii) Memberikan latihan dan pendedahan kepada tenaga pengajar dalam kaedah pengajaran termasuklah interaksi atas talian (online interaction).

2. Memperkasa Kemahiran dan pengetahuan dalam program pengajian.

Kajian mendapati bahawa kemahiran dan pengetahuan yang disampaikan dalam program pengajian belum begitu mantap lagi. Perkara ini dinyatakan oleh pelajar dalam kajian ini terutamanya pengetahuan dan kemahiran dalam aspek kemahiran generik. Oleh itu dicadangkan dalam program pengajian turut menekankan eleman-eleman kemahiran generik sebagai nilai tambah (vaue added) kepada para pelajar. Ini perlu dilakukan sama ada dengan mengwujudkan mata pelajaran baru berkaitan kemahiran generik ataupun dimasukkan kemahiran dan pengetahuan generik ini dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran yang sedia ada. Antara pengetahuan dan kemahiran generik yang dicadangkan ialah:-

i) Kemahiran komunikasi interpersonal.

ii) Kemahiran menyelesaikan masalah

iii) Kemahiran berbahasa Inggeris

iv) Kemahiran penggunaan ICT secara umum

v) Kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif

1 2
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China