Cari:
Armada Cheng Ho Membentuk Masyarakat Baba dan Nyonya di Melaka
2013-01-04 14:54:28 CRI Cetak

 Pada ketika Kerajaan Melayu Melaka memulakan empayernya pada awal kurun ke-15, keadaan politik di rantau Asia Tenggara ketika itu tidaklah begitu stabil. Dua buah kuasa besar yang terdiri daripada Kerajaan Majapahit (Indonesia) dan Kerajaan Siam (Thailand) sedang bersaing hebat bagi merebut kuasa dan jajahan takluk masing-masing di kawasan ini. Justeru, kedatangan armada Cheng Ho beserta dengan kekuatan ketenteraannya menjamin kedamaian negara-negara di rantau ini dan mengelakkan berlakunya peperangan. Ini selari dengan dasar negara Dinasti Ming ketika itu yang menekankan dasar persahabatan dan bukannya membawa persengketaan. Kekuatan dan kehebatan armada Cheng Ho ini telah menakutkan negara-negara di rantau ini untuk berperang sesama sendiri. Bagi negara yang ingin selamat dan terhindar daripada serangan Siam atau Majapahit, mereka akan mengadakan hubungan baik dengan lawatan Cheng Ho. Inilah yang dilakukan oleh kerajaan Melaka. Mereka menerima kedatangan Cheng Ho sebagai sahabat dan 'pelindung' kepada ancaman daripada kuasa luar seperti Siam dan Majapahit pada ketika itu. Dengan itu kerajaan Melaka berasa selamat dan dapat membangunkan pelabuhan serta negeri mereka dengan aman damai. Ini merupakan satu simbolik dan strategi yang berkesan oleh pihak kerajaan Melaka.

Pada ketika Laksamana Cheng Ho membawa armadanya ke Asia Tenggara (Nusantara), Melaka pada waktu itu di bawah takluk Siam dan terpaksa membayar ufti tahunan berupa 40 unit pohon emas. Menurut catatan Ma Huan seorang jurutulis yang ikut serta dalam pelayaran tersebut mengatakan, 'Parameswara sebelumnya cuma bertaraf kepala suku atau ketua kaum sahaja'. Oleh itu membayar ufti sebegitu banyak adalah suatu penindasan dari sebuah kuasa penjajah (kerajaan Siam) waktu itu. Berdasarkan ikatan persahabatan dengan pemikiran-pemikiran Islam agama anutannya, Cheng Ho telah mengutus surat kepada kerajaan Siam supaya ufti dihentikan. Tandanya Laksamana Cheng Ho dengan kekuatan kerajaannya, telah berjaya membebaskan dan menyelamatkan kerajaan Melayu Melaka dari penjajahan kerajaan Siam, dengan tanpa tumpah darah setitik pun. Bukan itu sahaja, bahkan kunjungan muhibah Cheng Ho itu berjaya membangunkan hubungan politik, diplomatik dan sosial secara perdamaian dengan pemerintah berbagai negeri di Laut Cina Selatan.

Di Melaka, beliau menempatkan pasukannya di suatu kawasan berbukit, yang akhirnya disebut Bukit Cina atau Chinese Hill. Beliau dan pengikutnya terus menziarahi Raja Melaka, iaitu Parameswara yang masih beragama Hindu. Disampaikan hadiah terdiri dari emas, wang China, sutera porsolen dan beberapa payung kuning. Tradisi payung kuning bagi raja-raja Melayu pun bermula dari sejak itu. Malah, tidak lama kemudian, Raja Parameswara telah memeluk agama Islam dengan memakai gelaran Raja Parameswara Iskandar Shah (1392-1414 T.M.).

(Kesan sejarah pengikut Cheng Ho: Kuburan lama di Bukit Cina, Melaka)

Pada tahun 1459, sekali lagi Laksamana Cheng Ho datang ke Melaka dengan membawa Puteri Hang Li Poh untuk dijodohkan dengan Sultan Melaka pada ketika itu iaitu Sultan Mansur Shah (1458-1477 T.M.), dan pengikut-pengikut puteri ini telah juga ditempatkan di sekitar kawasan Bukit Cina lalu membentuk petempatan yang lebih luas di kaki Bukit Cina, Melaka. Bukti petempatan ini masih wujud hingga ke hari ini dengan adanya kuburan kuno (lama) di atas Bukit Cina (seperti gambar di atas), Perigi Raja atau Perigi Puteri Hang Li Poh, Kuil 'San Pao Kung' atau 'Sam Po Bo' iaitu gelaran kehormat kepada Cheng Ho, serta ukiran patung Laksamana Cheng Ho.

(Perigi Raja atau Perigi Puteri Hang Li Poh)

(Kuil 'San Pao Kung' atau 'Sam Po Bo', di Bukit Cina, Melaka)

(Ukiran Patung Laksamana Cheng Ho di Kuil 'San Pao Kung' atau 'Sam Po Bo', di Bukit Cina, Melaka)

1 2
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China