Keturunan Baba dan Nyonya di Melaka
Kemunculan masyarakat minoriti Baba dan Nyonya di Melaka adalah daripada keturunan pengikut-pengikut Puteri Hang Li Poh yang datang bersama armada Cheng Ho pada tahun 1459. Puteri Hang Li Poh dikahwinkan dengan Sultan Melaka iaitu Sultan Mansur Shah dan Sultan Melaka telah memerintahkan agar didirikan sebuah istana khas bagi puteri ini di puncak Bukit Cina. Manakala pengikut puteri ini pula tinggal di petempatan yang dibina di kaki Bukit Cina dan kawasan sekitarnya. Walau bagaimanapun, kesan tinggalan istana Puteri Hang Li Poh tidak dapat dijejaki hingga ke hari ini. Kesan petempatan pengikutnya pula dapat dilihat berdasarkan adanya perigi yang digunakan mereka yang dikenali sebagai `Perigi Raja' atau `Perigi Puteri Hang Li Poh' di kaki Bukit Cina tersebut. Keturunan pengikut Puteri Hang Li Poh inilah yang dikata membentuk masyarakat minoriti Baba dan Nyonya di Melaka. Mereka telah diasimilasikan ke dalam masyarakat dan budaya Melayu sehinggakan identiti budaya mereka banyak yang telah hilang dan digantikan dengan unsur-unsur budaya Melayu. Nama mereka dikenali dengan permulaan sebagai `Baba' bagi kaum lelaki (misalnya Baba Kim Teck), dan `Nyonya' bagi kaum wanita (misalnya Nyonya Che Pon). Mereka juga `amat fasih' bertutur dalam bahasa Melayu dialek Baba dan Nyonya sebagai bahasa pertama, dan mengamalkan serba sedikit cara hidup orang-orang Melayu. Contoh bahasa Melayu dialek Baba dan Nyonya dapat dilihat dalam pantun dondang sayang seperti berikut:
Naday bugis tolak blayar, Jerok mari dalam kendi; Hutang budi balas di dunia, Hutang hati mengikat diri.
Pisang mas bawak blayer, Tengah laot patah kemudi-nya; Hutang budi dapat di bayer, Hutang hati apa ganti-nya.

(Keturunan Baba dan Nyonya Berbaju Kebaya Melayu dan nyanyi Dondang Sayang)

(Baba dan Nyonya menarikan Tarian Melayu Tradisioanal)
Mengikut sejarah, Baba dan Nyonya merupakan golongan keturunan Cina yang sangat unik kedudukannya yang terdapat di Negeri-Negeri Selat, Tanah Melayu, khususnya di negeri Melaka. Selain Melaka, kedudukan mereka kini berselerakan terutama sekali di Negeri-negeri Selat bekas Jajahan British di Pulau Pinang dan Singapura. Mereka juga dikenali sebagai Cina Peranakan atau "Straits Chinese". Kaum Baba dan Nyonya ini mengamalkan agama-agama tradisional Cina, dengan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina, perayaan Pesta Tanglung, di samping mengamalkan adat resam Melayu dan penjajahan Barat. Bahasa mereka juga unik dengan mengamalkan Dialek Baba-Melayu: campuran bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Hokkien. Begitu juga daripada aspek pemakanan, mereka mengamalkan campuran masakan Cina dan Melayu beridentitikan masakan Baba Nyonya yang pedas dan berempah. Mereka kaya kaya dengan kebudayaan, dan sangat unik dengan ciri-ciri campurannya. Sebab itulah dikatakan bahawa Warisan Baba Nyonya menjadi bahagian yang penting dalam khazanah seluruh bangsa Malaysia.

(Pakaian Tradisional Pengantin masyarakat Baba dan Nyonya di Melaka)
Pada hari ini, bilangan masyarakat Baba dan Nyonya di Melaka semakin berkurangan, mungkin kurang daripada 100 ribu orang. Ini kerana ramai daripada mereka terutamanya keturunan muda yang telah berhijrah ke negeri-negeri lain ataupun berkahwin dengan orang-orang Melayu atau Cina dan memeluk agama Islam atau Buddha. Walau bagaimanapun, kerajaan Negeri Melaka masih mengekalkan petempatan tradisional mereka sebagai warisan budaya yang tidak ternilai harganya. Petempatan tradisional mereka masih dipelihara oleh kerajaan dan dijadikan muzium ataupun pusat-pusat pelancongan di negeri Melaka. Pelancong berpeluang untuk menatap rumah-rumah tradisional Baba dan Nyonya yang masih dikekalkan dalam bentuk asal dengan seni bina, rekaan dan hiasan dalamannya yang menarik serta begitu unik sekali. Petempatan tradisional mereka ini dipelihara utuh di sekitar Banda Hilir dan kawasan Tengkera. Bangunan lama berupa deretan rumah kedai tersebut sebagai khazanah silam yang menyimpan seribu satu kenangan menceritakan tentang kewujudan masyarakat ini serta keunikan budaya mereka yang telah mula ditelan zaman. Hanya warisan artifak untuk tatapan generasi hari ini yang mampu mengukir senyuman dan menceritakan segalanya kepada para pengunjung yang melawatnya.








