Dialog Tokoh Politik dan Rakyat China-Asia Tenggara akan diadakan di bandar Nanning dan Fangchenggang, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi China pada 3 hingga 4 Jun nanti. Tema dialog kali ini ialah "kedamaian untuk pembangunan, bekerjasama demi menang-menang". Pegawai dan tokoh politik dari ASEAN, Timor Leste dan Sekretariat ASEAN, media dari belasan buah negara serta rombongan belia China yang terdiri daripada 90 orang akan menyertai dialog kali ini, di samping mengadakan tinjauan di bandar Nanning dan Fangchenggang untuk menyaksikan perubahan China dalam 30 tahun lalu dan meningkatkan pengetahuan mengenai China.
Dialog ini dianjurkan sebagai wahana dalam kalangan rakyat untuk mempromosikan dasar luar China yang terus mendorong pembangunan secara damai, menggalakkan kerjasama saling menguntungkan serta mengekalkan hubungan baik dengan negara-negara jiran.
Dalam 30 tahun yang lalu, China telah mengalami pembangunan yang pesat, manakala negara-negara jirannya turut mengejar pembangunan masing-masing. Dalam proses tersebut, timbul pula salah faham antara pelbagai pihak. Tujuan dialog kali ini adalah untuk mewujudkan wahana dialog dalam kalangan rakyat antara China dengan Asia Tenggara, supaya dapat mencari penyelesaian bagi pelbagai masalah serta mengurangkan salah faham dan meningkatkan persefahaman.
Selain pegawai kerajaan dan tokoh politik, anggota media dan belia akan turut berkumpul bersama untuk berbincang secara terus terang mengenai isu yang menjadi perhatian bersama. Pada masa yang sama, pengalaman dan kebijaksanaan dapat dikongsikan untuk mencari jalan yang bersesuaian dengan pembangunan bersama dan saling menguntungkan antara China dengan negara-negara Asia Tenggara.
Antara masalah yang timbul di rantau ini, sebahagiannya berpunca daripada salah faham berikutan proses pembangunan negara masing-masing. Masalah-masalah ini dapat diselesaikan melalui komunikasi dan rundingan, yang tidak memerlukan campur tangan pihak ketiga atau kuasa-kuasa lain. Oleh itu, kerajaan dan rakyat dari China dan negara-negara Asia Tenggara perlu bersepakat untuk merealisasikan kedamaian, pembangunan dan kerjasama yang saling menguntungkan.