Cari:
Ucapan Peng Qinghua
2013-06-03 17:58:17 CRI Cetak

Dialog Tokoh Politik dan Rakyat China-Asia Tenggara dirasmikan di Nanning pada pagi 3 Jun 2013.
Juruacara, Meng Xiaosi mempengerusikan majlis berkenaan.

Setiausaha Jawatankuasa Parti Komunis China Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, Encik Peng Qinghua telah menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Dialog Tokoh Politik dan Rakyat China-Asia Tenggara pada 3 Jun 2013.

Teks ucapan beliau seperti berikut:

Yang Amat Berbahagia Ung Hort, Mantan Perdana Menteri Kemboja,
Yang Berhormat Tong Yerthor, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Revolusi Rakyat Laos merangkap Naib Pengerusi Jawatankuasa Pusat Barisan Pembinaan Laos,
Yang Berhormat Liu Qibao, Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China merangkap Setiausaha Sekretariat Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China dan Pengerusi Jabatan Penerangan Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China,
Yang Berhormat Sun Jiazheng, Naib Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Ke-11 Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China merangkap Pengerusi Persatuan Kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan China (CANGO),
Dif-dif kehormat,
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati:

Sempena perasmian Dialog Tokoh Politik dan Rakyat China-Asia Tenggara ini, saya mewakili Jawatankuasa Parti Komunis China Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, dan kerajaan Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, mengalu-alukan kehadiran dif-dif kehormat yang menyertai dialog kali ini.

Rakyat merupakan asas kepada persahabatan. Hubungan dan pertukaran lawatan dalam kalangan rakyat memainkan peranan yang amat penting dalam usaha meningkatkan persahabatan rakyat dan menggalakkan perkembangan hubungan antara negara. Rakyat China sejak zaman dahulu kala mencintai kedamaian dan pembangunan, serta sanggup bersama-sama rakyat di seluruh dunia untuk memperjuangkan kedamaian dan pembangunan sejagat. Dialog Tokoh Politik dan Rakyat China-Asia Tenggara kali ini bertemakan "Kedamaian untuk pembangunan, kerjasama demi menang-menang: Keazaman dan impian bersama rakyat China dan Asia Tenggara". Para peserta akan membincangkan konsep baharu untuk mengumpulkan kebijaksanaan rakyat serta kaedah baharu untuk mempertingkat kerjasama pragmatik. Dialog kali ini memperlihatkan tekad kukuh kerajaan dan rakyat China untuk mewujudkan kedamaian, pembangunan, kerjasama dan situasi menang-menang. Pada masa yang sama, dialog kali ini dipercayai akan menjadi wadah yang penting bagi meningkatkan persefahaman dan persahabatan antara kalangan rakyat China dengan negara-negara Asia Tenggara, sekaligus menggalakkan kerjasama ekonomi, perdagangan dan kebudayaan antara kedua-dua pihak.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Sebagai wilayah yang berjiran dengan Asia Tenggara, etnik Zhuang di Guangxi mempunyai bahasa dan adat resam yang mirip dengan rakyat di Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand dan Myanmar, bahkan mempunyai hubungan darah dengan rakyat di negara-negara tersebut. Seawal lebih dua ribu tahun yang lalu, Guangxi merupakan salah sebuah pelabuhan yang penting dalam Laluan Sutera Laut. Pedagang China belayar dari sini untuk membawa barangan seperti sutera dan tembikar ke Asia Tenggara dan juga bersahabat dengan penduduk tempatan. Kini, terdapat lebih empat perpuluhan lima juta orang keturunan Cina yang berasal dari Guangxi menetap di negara-negara Asia Tenggara. Mereka telah memberi sumbangan kepada pembangunan setempat dan hidup secara harmoni dengan penduduk tempatan.

Pada beberapa tahun kebelakangan ini, Guangxi menggunakan peluang jalinan hubungan rakan strategik antara China dengan ASEAN, secara aktif menggalakkan pertukaran kalangan rakyat antara kedua-dua pihak. Hasilnya Ekspo China-ASEAN, Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan China-ASEAN, Forum Kebudayaan, Forum Wanita dan Forum Usahawan Belia China-ASEAN, Pangkalan Penerokaan Sumber Manusia dan Latihan Belia China-ASEAN, serta Rali China-ASEAN. Aktiviti pertukaran yang dianjurkan oleh Guangxi tersebut telah mempergiat kerjasama pragmatik kedua-dua pihak dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelancongan, pendidikan, sumber tenaga, radio dan televisyen, kebudayaan dan kesenian. Kini, pelajar Guangxi yang melanjutkan pengajian di Asia Tenggara dan pelajar Asia Tenggara di Guangxi berjumlah lebih dua belas ribu orang, manakala 33 buah bandar di Guangxi menjadi bandar kembar bandar-bandar di Asia Tenggara. Di samping itu, jumlah perdagangan antara Guangxi dengan ASEAN pula mendahului pelbagai provinsi dan wilayah di kawasan barat China. Hubungan rakyat dan peringkat tinggi, serta kerjasama ekonomi dan kebudayaan antara kedua-dua pihak terus berkembang maju sehingga membuahkan hasil yang menggalakkan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Pepatah China yang menyebut "hubungan jiran lagi mesra berbanding saudara mara yang jauh". Seiring dengan pembentukan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN, serta hubungan persahabatan dan kerjasama antara China dengan negara-negara Asia Tenggara yang kian erat, hubungan rakyat antara kedua-dua pihak turut memasuki tahap yang baharu. Dengan berlangsungnya dialog kali ini, Guangxi akan terus melaksanakan persepakatan kerjasama yang dicapai dengan pelbagai negara Asia Tenggara, mempergiat pelbagai wahana dan mekanisme yang sedia ada seperti Ekspo China-ASEAN, menyokong dan menggalakkan pertukaran dalam kalangan rakyat, meningkatkan kerjasama pragmatik dalam pelbagai bidang bagi membolehkan rakyat menikmati limpahan manfaat.

Akhir sekali, semoga Dialog Tokoh Politik dan Rakyat China-Asia Tenggara diadakan dengan jayanya.

Terima kasih.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China